Monday, 21 November 2016

Memori Saudi - Masa Kualiti Bersama Anak-anak

Suami dan anak-anak bergilir-gilir datang menemani saya di Rabigh. Selepas suami pulang beberapa hari, tiga orang anak lelaki saya yang berumur 22, 23 dan 27 tahun datang. Anak-anak yang sibuk belajar dan bekerja datang untuk berehat bersama umi mereka.
     Alhamdulillah saya sempat bawa mereka mengerjakan umrah, menziarahi Madinah, melawat Taif dan berjalan-jalan di sekitar Rabigh. Seronoknya dapat bersama anak-anak semula. Bila anak-anak sudah dewasa begini terasa kita pula yang bergantung harap pada mereka.
     Bila tidak ke mana-mana, anak-anak rehat sahaja di rumah. Saya gembira dapat memasak dan makan bersama mereka. Anak-anak juga nampak rajin menunaikan solat lima waktu berjemaah di masjid.
     Kalau di Malaysia, agak jarang dapat solat di masjid untuk setiap waktu. Kesibukan kerja dan belajar membatasi masa berjemaah di masjid. Saya bahagia bila melihat anak-anak terkejar-kejar untuk ke masjid setiap kali selepas iqamah yang jelas kedengaran dari rumah saya.
     Namun, bila lama di rumah anak-anak kelihatan bosan. Asyik menonton TV dan melayari Internet sahaja. Kereta tidak ada untuk berjalan-jalan. Hanya mengharap kawan-kawan atau terpaksa panggil pemandu. Orang muda bosan tinggal lama di Rabigh. Tidak banyak yang menarik hati mereka.
     Bagi saya, itulah peluang! Peluang untuk meluangkan masa berbual dan bergurau mesra bersama anak-anak. Mengimbau cerita-cerita lama semasa mereka kecil. Bercerita tentang kawan-kawan lama dan berselorah tentang perancangan masa depan.
     “Kalau Ahmad minat anak dara arab umi boleh tolong cari. Student umi comel-comel”, usik saya kepada anak keempat yang belum ada pasangan. Anak sulung sudah berkahwin, anak lelaki kedua sudah ada kawannya. Ahmad jadi mangsa usikan kami.
     Selepas tujuh belas hari bersama saya, anak-anak pulang meneruskan kehidupan masing-masing. Saya yang tinggal, membilang hari untuk pulang ke pangkuan keluarga. Rindu semakin menggamit. Kesunyian semakin terasa. Rama-rama dalam hati terbang semakin pantas kerana menjelang tiga hari sebelum tarikh penerbangan balik pasport dan visa exit reentry belum sampai di tangan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home