Memori Saudi - Di Sebalik Mekah, Madinah dan Laut Merah
Di sekitar Rabigh, kebanyakan perumahan ialah jenis apartmen tiga hingga enam tingkat. Paras bawah dikhaskan untuk bilik pembantu rumah atau pemandu. Tingkat pertama hingga ke lima disewakan untuk umum. Tuan rumah biasanya tidak mahu kepala mereka dipijak akan duduk di tingkat paling atas. Paras bumbung merupakan kawasan terbuka yang digunakan untuk rekreasi oleh tuan rumah.
Terdapat juga rumah jenis vila iaitu bangunan rumah banglo satu atau dua tingkat. Setiap vila bertembok tinggi tiga meter dengan pintu masuk besi yang besar. Ada vila yang baru dibina tesergam dengan rekabentuk moden dan ukiran yang unik. Ada juga vila lama dan rumah batu kecil yang kelihatan usang. Umumnya, apartmen atau vila tidak berwarna warni, hanya berwarna tanah atau bata merah.
Selain itu terdapat satu kawasan perumahan di tepi pantai laut merah khas untuk pekerja Aramco dan Petro Rabigh. Petro Rabigh Compound (PRC) terletak 18 Km dari bandar Rabigh.
Saya berpeluang masuk ke PRC beberapa kali sebagai tetamu pelajar saya yang tinggal di situ. Kalau tiada kenalan, memang tidak ada peluang masuk ke PRC. Masya Allah, bukan senang hendak masuk. Pintu masuk PRC dikawal ketat oleh penjaga bersenjata.
Sebelum masuk, semua pelawat lelaki perlu mengisi borang pendaftaran dengan bukti pengenalan seperti paspot atau iqamah. Pelawat wanita pula perlu menunjukkan pengenalan di kaunter khas untuk wanita.
Ketibaan dalam PRC seolah-olah masuk ke suatu dunia yang lain. Di sepanjang kiri kanan jalan kelihatan pokok tamar yang sedang berbunga tersusun sepanjang jalan. Pokok bunga yang berbagai warna berkembangan menyambut tetamu datang.
PRC lengkap dengan segala kemudahan. Rumah pekerja teratur rapi. Apartmen untuk orang bujang dan banglo berpagar tinggi untuk keluarga. Anak-anak pekerja PR tidak perlu pergi jauh untuk ke sekolah. Mereka bebas berjalan kaki, naik basikal atau naik bas ke sekolah yang terdapat di dalam kompaun. Kedai dan restoran juga ada.
Terdapat kemudahan rekreasi berasingan untuk lelaki dan wanita. Bangunan rekreasi wanita terletak di tepi pantai yang redup dengan air laut tenang kebiruan. Di dalam bangunan rekreasi terdapat gym yang lengkap, kolam mandi kanak-kanak, kolam mandi dewasa, bilik permainan kanak-kanak, dan spa.
Oleh kerana agak susah mencari spa di sekitar Rabigh, apabila berada di PRC kami mengambil kesempatan memanjakan diri di spa. Kami buat rawatan muka, mengurut badan dan rawatan rambut.
Kelihatan di lobi wanita berbagai bangsa berbual sambil minum dengan anak-anak. Oleh kerana kawasan rekreasi wanita terhad kepada wanita sahaja, suami Nora dan anak lelakinya berehat-rehat di pantai.
Sherifa, pelajar yang menjemput saya ke PRC sudah tinggal di situ semenjak kecil. Ayahnya pegawai atasan Aramco. Menurut Sherifa, kehidupan di dalam kompaun lebih bebas. Tiada peraturan ketat tentang berpakaian untuk wanita. Mereka bebas keluar beriadah di jalan atau di pantai dengan pakaian sukan tanpa perlu berabaya dan berniqab. Kompaun bertujuan supaya pekerja yang ramainya expatriat berasa seperti di tempat sendiri. Tidak terkekang dengan peraturan seperti di luar.
Di bandar-bandar besar Arab Saudi terdapat banyak kawasan kompaun ekslusif yang boleh di sewa oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan. Ada kompaun yang menyediakan kebebasan yang mungkin dicari oleh pendatang asing atau orang tempatan. Apa sahaja hiburan yang terdapat di negara luar boleh didapati di dalam kompaun. Terdapat kompaun yang tiada sekatan jualan minuman keras, tiada pengasingan gender dan boleh juga berbikini di pantai.
Rupa-rupanya Arab Saudi bukan sekadar Mekah, Madinah atau Laut Merah. Bukan hanya padang pasir gersang dengan badui dan untanya. Kekayaan minyak dibumi anbiyak ini juga membawa seribu perubahan dan berbagai dugaan yang mengoncang iman.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home