Monday, 7 November 2016

Memori Saudi - Bercakap Dengan Allah

Selepas balik dari Madinah saya menahan diri dari berbual dengan manusia. Saya tidak melayan WA atau bercakap percuma di talian Internet dengan sesiapa. Saya tidak telefon suami untuk bercakap rindu-rinduan. Saya hanya mahu bercakap dengan Allah.
     Saya bercakap sendirian tanpa keruan? Tidak! Saya betul-betul mahu bercakap dengan Allah? Bagaimana? Sepanjang 50 tahun hayat ini, memang saya bercakap dengan Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari. Tetapi percakapan saya kosong. Saya tidak betul-betul faham apa yang saya katakan bila berjumpa Allah dalam setiap solat.
     Rupa-rupanya secara tidak sedar, telah lama saya pandai bercakap arab. Saya bercakap arab dengan Allah di dalam solat. Tetapi hanya seperti burung kakak tua. Bercakap berpuluh tahun tetapi sekadar di lidah.
     Wajarkah saya beriktikad bercakap arab sedangkan perbualan dengan Allah saya tidak faham?
    Saya buka semula buku Pedoman Sembahyang yang saya beli untuk anak-anak. Alhamdulillah buka terbitan tahun 1988 yang sudah lusuh ada bersama saya di Rabigh. Memang banyak panduan solat boleh di dapati di Internet, tetapi buku ini akan menjadi saksi kesungguhan saya.
     Hari ini saya betul-betul beriktikad untuk memahami setiap patah percakapan saya bila menghadap Allah. Dengan izin Allah, selepas ini saya juga akan boleh bercakap arab dengan sesiapa saja.
     Saya mulakan dengan doa sesudah wuduk. Alhamdulillah, semenjak yang saya ingat, saya memang seboleh mungkin cuba sentiasa berada dalam wuduk. Doa wuduk juga saya hafal tetapi maknanya tidak dihayati setiap patah perkataan.
    "Aku mengaku bahawa tiada Tuhan selain selain Allah. Maha Esa Dia, tiada sekutu bagiNya dan aku mengaku bahawa Muhammad itu hambaNya dan Rasulnya. Ya Allah, jadikan aku sebahagian dari orang yang bertaubat, jadikan aku ini sebahagian dari orang yang suci, dan jadikan aku dari sebahagian dari hamba Mu yang berbuat baik".
     Kemudian saya belek pula makna bacaan doa iftitah. "Allah Maha Besar. Segala kebesaran dan segala pujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah setiap pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi, tunduk berserah diri, dan bukanlah aku termasuk golongan orang-orang musyirik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya, dan kerana itu aku rela diperintah, dan aku ini adalah termasuk golongan orang-orang Islam".
     Walaupun membaca doa iftitah sunat tuntutannya, namun setelah memahami maknanya, saya merasa amat rugi kalau tidak membacanya.
     Dalam doa tersebut, terkandung janji dan taat setia kita kepada Allah. Bahawa solat, ibadat, hidup dan mati kita hanyalah untuk-Nya. Jelas bahawa matlamat hidup kita sebenarnya hanyalah kerana dan untuk Allah. Membaca dengan memahami maksudnya, akan membuatkan solat kita menjadi lebih berkualiti.
     Jika janji kita kepada Allah itu dipegang betul-betul dan diterjemahkan ke dalam kehidupan melalui amalan seharian kita, nescaya kita akan lebih ikhlas melaksanakan apa sahaja. Semuanya semata-mata kerana Allah.
     Doa ini membuat saya berfikir di manakah kedudukan saya sekarang ini? Adakah saya benar-benar memahami tujuan kehidupan ini. Menjadi hambaNya yang patuh dan taat. Menjadi khalifah yang amanah dan jujur. Semoga saya dan sesiapa yang membaca artikel ini beroleh ketenangan jiwa sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya." (Al-Fajr: 27–28).
     Semoga Allah terus memberi rahmatnya untuk saya terus memahami setiap perkataan bila sahaja takbir diangkat. Tidak mengapa saya tidak bercakap dengan manusia, tetapi Allah sentiasa ada untuk mendengar. Allahu samiun alim - Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home