Memori Saudi - Memujuk Rasa
Dustalah sekiranya saya katakan yang saya tidak bersedih melihat gambar-gambar keluarga berhimpun tanpa saya. Ya, pada 14 Mac 2015 semua keluarga berhimpun di rumah saya sempena perkahwinan Udin adik bongsu saya.
Alhamdulillah semuanya ceria terutama emak dan ayah yang sudah lama menunggu saat tersebut.
Dua hari saya menangis sendirian apabila melihat gambar keluarga yang dihantar melalui WhatsApp dan Facebook. Anak-anak menghantar mesej untuk menghubungi saya dengan Skype.
"Umi tak mahu Skype. Nanti semua orang sedih pulak".
Saya memujuk hati, "Be strong, ini ujian Allah. Ini qada dan qadar Allah. Saya insan yang terpilih untuk menerima ujian ini. Ya Allah kuatkanlah hati ku untuk menghadapi ujian perpisahan ini".
Lemah... "Kenapa abang tinggalkan saya seorang diri di sini?", saya cuba menyalahkan suami yang membenarkan saya datang ke Rabigh. Ya, suami saya setuju dan reda saya datang. Tetapi dua hari itu saya lemah... lemah bila terkenangkan yang saya terpisah dengan keluarga yang amat dicintai. Rasa terbuang di gurun sahara. Bukan terbuang, tetapi ini pilihan saya.
Bukan, Allah yang memilih saya untuk diuji dengan sedikit kesedihan melalui perpisahan. Saya memujuk rasa. "Jangan menyalahkan sesiapa. Jangan memberontak kepada Allah yang telah meletakkan saya sendiri di sini".
“La tahzan innallaha maana – jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Saya mengingatkan diri bahawa dalam apa jua takdir yang ditimpakan Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekali pun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba Nya pasti bermaksud baik.
Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu. Saya terus memujuk rasa.
"Hati yang bersifat bolak-balik terutamanya bila diuji hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah, yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya", itu pesanan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.
Saya mencari dan membaca kata-kata perangsang untuk menenangkan hati.
"Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa".
"Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi".
“Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah".
"Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik".
"Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya".
"Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian".
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).
Rasulullah S.A.W. bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.”
Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah.
Membaca petikan-petikan di atas daripada tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di genta-rasa.com membuatkan saya rasa tenang, tiada lagi rasa sedih.
Saya pergi ke pejabat seperti biasa, walaupun masih kelihatan tanda-tanda bersedih di mata saya. Saya teruskan rutin berjalan kaki solo di Taman Sihat selepas waktu Asar. Saya menarik nafas lega melihat keluarga berehat di taman. Saya terhibur mendengar laungan kanak-kanak bermain buai dan gelongsor.
Dalam perjalanan pulang dari Taman Sihat, saya tersenyum sendirian melihat remaja lelaki menyepak bola di padang pasir yang berdebu.
Allah ingat lagi pada saya. Alhamdulillah. Rasa kehambaan saya masih tertanam. Mandi saya basah, tidur lena, makan kenyang. Itu tandanya hati saya sudah terpujuk.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home