Memori Saudi - Peluang atau Ancaman?
Usia perkahwinan saya dan suami sudah melebihi dua puluh lapan tahun. Kami seperti kebanyakan orang Melayu lama, tidak pernah ada majlis anniversary, tidak pernah ada majlis hari jadi.
Kalau sesiapa di antara kami teringat, pada tarikh keramat 4 Januari, ada lah juga ucapan ringkas Happy Anniversary. Itu sahaja! Tiada bunga, cincin atau sebarang hadiah. Tiada sarapan di katil seperti cerita Hollywood. Tiada yang istimewa. Kadang-kadang tidak ingat langsung.
Saya dan suami serupa. Tidak kisah? Kadang-kadang dalam hati saya ada juga terdetik mahukan hadiah atau perhatian istimewa daripada suami pada hari anniversary atau hari lahir. Agaknya suami juga demikian. Masing-masing mengharap atau benar-benar tidak kisah?
Sepanjang menjadi isteri dan ibu kepada tujuh orang anak, memang hati saya pernah terusik untuk pergi jauh, bercuti dari kesibukan sebagai isteri dan ibu. Mahu rehat!
Namun, selama ini saya tidak sanggup berpisah lama dengan suami dan anak-anak. Paling lama saya tidak bersama suami hanya dua belas hari iaitu semasa umrah bersama ibu-bapa dan adik-adik pada tahun 2011.
Walaupun berpeluang melanjutkan Ph.D di United Kingdom, atau bercuti sabatikal di luar negara, saya tidak sampai hati untuk pergi. Saya buat Ph.D secara sambilan di Universiti Sains Malaysia tempat saya bekerja. Saya tidak sanggup tinggalkan suami. Entah kenapa? Cemburu atau tidak yakin dengan diri sendiri?
Anak-anak membesar, pergi belajar dan kembali ke rumah. Saya bersyukur anak-anak mahu terus tinggal bersama walaupun sudah bekerja. Anak-anak masih mahu mengadu dan meminta nasihat walaupun sudah berumah tangga dan besar panjang. Saya bersyukur. Hati saya merasakan yang keluarga saya bahagia.
Suami saya baik, perumah orangnya. Tidak cerewat makan minum atau pakaian. Setakat ini saya rasa suami ikhlas sayangkan saya. Saya memang sayangkan suami walaupun kadang-kadang hati saya tidak puas hati kerana suami kerap kali menunjukkan sikap ego dan male chauvinists. Namun suami saya ada banyak kelebihan lain.
Seperti kebanyakkan lelaki Melayu yang lain, suami tidak rajin memasak atau membuat kerja rumah. Suami sediakan pembantu rumah.
Tawaran ke Rabigh peluang atau ancaman kepada kebahagian keluarga saya? Saya yakinkan diri, ini adalah peluang! Peluang untuk saya berehat dari kesibukan hidup sebagai isteri, ibu, anak dan kakak sulong. Peluang untuk menguruskan emosi supaya lebih banyak bersabar dan lebih menghargai kasih sayang keluarga. Peluang untuk mempelbagaikan ibadat.
Berkhidmat untuk suami, mendidik anak-anak serta menyantuni ibu-bapa dan adik beradik memang ibadat besar.
Kedatangan saya di Rabigh memberi peluang yang berbeza. Peluang untuk beruzlah, bersendirian, lebih banyak masa membaca quran, lebih kerap untuk mengerjakan ibadat di Masjidil Haram dan menziarahi Madinah. Peluang untuk belajar dari kehidupan di bumi anbiyak dan para sahabat. Peluang untuk hidup lebih ringkas. Peluang untuk tidak menyangkutkan hati kepada harta benda, anak-anak dan keluarga.
Saya juga sentiasa berdoa agar ketiadaan saya bersama suami dan anak-anak juga memberi peluang yang berbeza untuk mereka.
Peluang untuk anak-anak berdikari dan menyerlahkan potensi tersendiri. Peluang untuk anak-anak menjadi hamba Allah yang lebih baik tanpa bebelan saya. Peluang kepada saya dan suami untuk lebih menghargai nilai hidup bersuami isteri. Peluang untuk kami menghantar mesej-mesej cinta yang sudah hampir lupus di telan masa.
Perpisahan yang sementara itu meningkatkan keikhlasan kami. Ikhlas mendekatkan diri kepada Allah. Ikhlas melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri, sebagai suami, sebagai anak dan sebagai adik-beradik.
“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”. (Al-An’aam: 162-163).
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya. Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat (kepada Allah). Katakanlah, "Sesungguhnya aku takut akan azab pada hari yang besar jika aku menderhaka kepada Tuhanku. Katakanlah lagi: "Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan ugamaku kepadaNya. (Az-Zumar: 11-14).
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home