Memori Saudi - Nikmat Sebagai Islam
Allah tempatkan rumah saya di Rabigh berdekatan dengan segala kemudahan. The one and only mall di Rabigh, terletak di seberang jalan. Mini market dan restoran nasi arab pula betul-betul di depan rumah. Kemudahan lain yang paling saya hargai ialah Ladies Dakwah Centre – Pusat Dakwah Wanita.
Banyak aktiviti yang dijalankan di situ. Setiap petang Selasa dan Jumaat saya mengikuti kelas Quran dan bahasa Arab. Selama ini saya merasakan yang bacaan saya sudah baik, namun bila belajar dengan guru Arab, banyak lagi sebutan huruf yang perlu dibetulkan. Syukur, di usia 50'an ini saya di beri kesempatan oleh Allah untuk membetulkan bacaan Quran.
Sepanjang hidup saya, tidak pernah lagi menyaksikan sesiapa masuk Islam. Seminggu pertama di Rabigh, saya telah menyaksikan dua orang wanita Filipina mengucap dua kalimah syahadah. Malah hampir setiap minggu ada saja saudara Filipina atau Afrika yang memeluk agama Islam.
Dakwah Centre memang giat menjalankan kerja-kerja dakwah. Pada malam Selasa pusat tersebut penuh dengan wanita arab yang mengikuti ceramah dalam bahasa Arab. Malam Jumaat pula ceramah dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah, selain waktu kerja, masa saya juga terisi dengan aktiviti bersama saudara baru.
Mendengar cerita mereka yang baru memeluk Islam membuatkan hati saya sedih. Betapa mereka terpaksa menjalani kesukaran untuk menjadi Islam. Kita yang dilahirkan Islam tidak merasakan nikmat tersebut.
"Menjadi Islam adalah satu nikmat yang paling besar dalam hidup. Saya bersyukur kerana Allah s.w.t memilih saya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. Umat yang terbaik kerana kita menyeru kepada makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah s.w.t.". Begitulah kata Mashitah, saudara baru dari Perth Australia yang begitu aktif berdakwah.
Saya kagum dengan beliau. Baru dua belas tahun sebagai seorang Muslimah, dia arif dengan hukum-hakam Islam dan fasih juga berbahasa Arab. Masya Allah, Tabrakallah.
Bangga saya apabila Mashitah yang sebelum ini seorang backpacker atheist memberitahu yang dia memeluk Islam semasa stranded di Malaysia. Budi baik yang ditunjukkan oleh seorang Muslim yang membantunya telah menjadikan Mashitah jatuh cinta dengan Islam. Begitulah pentingnya role model.
Melihat kepada kegigihan beliau berdakwah saya jadi malu pada diri sendiri. Selama ini saya kurang merasai betapa berharganya nikmat sebagai seorang Islam. Saya just take for granted. Lahir sebagai Islam, sembahyang lima kali sehari, puasa di bulan Ramadan dan lain-lain rukun Islam dikerjakan tanpa betul-betul memikirkan hikmah setiap amalan tersebut.
Saya membaca Quran dan solat, tapi tidak betul-betul menghayati bacaan nya kerana tidak menguasai bahasa Arab, bahasa Quran.
Peluang bergaul dengan saudara baru di sini membuka mata saya bahawa Islam ini sungguh indah.
Saya berdoa agar anak-beranak, kaum keluarga, sahabat handai dan semua umat Islam diberi kesedaran tentang nikmat Islam. Semoga Allah memberi peluang kepada kita untuk meningkatkan ilmu, iman dan amal agar dapat menjadi seorang Islam sejati yang layak masuk ke syurga Nya.
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (An-Nahl:18)
".... Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Aku ridhai Islam agama mu... (Al-Maaidah:3).
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home