Memori Saudi - Menghayati Tawaf
"Untungnya dapat kerja di sana, boleh buat umrah selalu", begitu lah komen kawan-kawan dan saudara mara yang tahu saya hendak pergi ke Arab Saudi.
Alhamdulillah selama berada di sana saya berkesempatan mengerjakan umrah hampir setiap dua minggu sekali. Berselang minggu antara ke Mekah dan ziarah Madinah.
Pada minggu pertama di sana, saya pergi ke Mekah dan Madinah dengan suami, anak-anak, Nora dan anak-anaknya menaiki bas eskpres. Tambang hanya empat puluh riyal.
Pada 22 hingga 24 Mac 2015 saya ke Mekah tanpa keluarga. Hanya bertemankan rakan-rakan dari Rabigh. Tiga hari saya keluar masuk Masjid al-Haram melalui pintu bernombor 89, pintu Malik Fahd yang mengadap ke menara jam besar. Pintu-pintu lain jauh dari hotel saya kerana banyak laluan tutup disebabkan kerja-kerja perluasan masjid.
Kesesakan di pintu semasa hendak keluar masjid memberi kesempatan kepada saya untuk terus berzikir dan membaca mesej di electronic buletin board. "Mengerjakan umrah dan haji adalah nikmat Allah kepada anda. Ucapkan syukur dan pujian kepada Allah".
Syukur Alhamdulillah saya terpilih untuk mendapat nikmat Allah! Semoga nikmat ini juga sampai kepada keluarga saya walaupun mereka tiada bersama.
Kenapa dikatakan mengerjakan umrah itu nikmat Allah? Saya terus memikir. Saya kaji kembali falsafah rukun-rukun umrah. Alhamdulillah saya diberi peluang oleh Allah untuk berulang-kali mengerjakan tawaf sunat, ibadah istimewa yang hanya boleh dilakukan di Baitullah.
Saya memang suka melancong, namun pergi ke Mekah bukan seperti melancong ke Paris, London, Rome, Copenhagen, Zurich, Madrid, Tokyo, Beijing, Seoul, New York atau Sydney. Dari sudut bangunan, muka bumi dan kesuburannya tidak banyak yang menarik. Yang kelihatan hanya bangunan kotak berbumbung rata di lembah tandus tanpa tumbuh-tumbuhan.
Namun, orang Islam dari seluruh pelusok dunia tetap mengunjunginya sejak Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancong dan berseronok suka.
Bandar Mekah tidak pernah sunyi. Siang dan malam, tidak putus hamba Allah datang untuk mengabdikan diri dan menyucikan jiwa. Tidak kira tua, muda, hitam, putih, uzur, sihat, tegak, bongkok, cacat, sempurna semuanya datang untuk tawaf mengelilingi Kaabah.
Mereka yang belum pernah melaksanakan ibadah umrah ataupun haji, akan merasakan keinginan yang teramat sangat untuk mengecapi nikmat bertawaf. Bagi mereka yang pernah datang, tentunya rindu untuk datang lagi. Rindu untuk berjalan di tempat para anbiyak, para sahabat dan juga para alim ulama pernah menjejakkan kaki melaksanakan ibadah yang sama iaitu tawaf di Baitullah.
Ibadah tawaf itu bukanlah sekadar perbuatan ritual mengelilingi Kaabah sahaja. Apa hikmahnya tawaf? Persoalan ini bermain di fikiran saya.
Sheikh Ali Ahmad Al-Jarjawi seorang ulama Universiti Al-Azhar di dalam kitabnya ‘Hikmah At-Tasyri’ Wa Falsafatuhu’, menerangkan bahawa tawaf merupakan perjalanan arah kehidupan manusia menuju kepada Allah s.w.t. Daripada Allah manusia bermula, menjalani kehidupan di muka bumi, dan kelak akan berakhir pada Allah jua sebagai tempat kembali.
Pusingan tawaf secara teratur dan berdisiplin, bertujuan untuk mengingatkan setiap jiwa yang bertawaf untuk melaksanakan kehidupan dengan keindahan, beretika dan teratur. Tidak berasak dan tidak pula menyakiti orang lain.
Jika falsafah amalan tawaf ini dapat kita semaikan dalam kehidupan seharian, insya Allah kita akan mampu mendidik jiwa menjadi insan yang teratur dan berdisiplin dalam kehidupan, pekerjaan dan ibadah harian. Ini akan membantu kita untuk menikmati ketenteraman, keamanan dan kedamaian dalam kehidupan.
Seterusnya, tawaf juga membawa maksud rasa kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan Allah seperti Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. mengelilingi Kaabah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. mengajar kita tawaf dari kanan ke kiri iaitu mengikut arah lawan jarum jam. Apa falsafahnya?
Bila dikaji, ini adalah fitrah manusia dan alam semulajadi. Ini adalah asas hukum tenaga. Tawaf is a law of cosmic. Ilmu sains yang dipelajari semasa di sekolah tentang atom, sel, cakerawala dan hukum tenaga terbayang kembali.
Ya, setiap yang bertenaga akan melakukan pergerakan. Tenaga bergerak mengikut hukum. Hukum asas setiap pegerakan adalah bergerak dari kanan ke kiri. Semua hukum pergerakan dalam binaan jisim atom atau zarah yang terkecil bergerak sedemikian.
Bumi berputar pada paksinya mengelilingi matahari dari kanan ke kiri. Begitu juga matahari dengan semua sistemnya. Nukleas dalam sel hidupan pun bergerak berlawanan dengan arah jarum jam. Masya Allah, Subhanallah.
Kenapa tujuh? Cukuplah sekadar kita mengetahui bahawa tujuh ialah nombor ganjil pilihan Allah. Langit itu tujuh lapis, bumi pula dicipta selama tujuh hari. Surah Al-Fatihah ummul Quran yang bermula dari Bismillah juga terdiri dari tujuh ayat. Yakinlah bahawa Allah Maha Bijaksana.
Tawaf adalah bukti cinta kita yang tiada berbelah bagi terhadap Tuhan Yang Maha Mencipta. Cinta seorang Mukmin kepada Allah dan Rasul-Nya, bukan hanya dengan mengucapkan kata-kata cinta dan rindu, akan tetapi hasil dan kesan dari cinta itu akan terzahir dalam diri dan amalan seharian kita.
Tawaf dan bermunajat di depan Multazam bersendirian menimbulkan rasa insaf dan hiba di hati saya. Segala doa yang terdapat di dalam buku panduan haji dan umrah saya ulang berkali-kali. Semoga Allah s.w.t. kabulkan segala doa saya.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home