Friday, 11 November 2016

Memori Saudi - Rezeki Allah di Bumi Gersang

Hari Jumaat dan Sabtu saya jarang keluar petang kerana laluan penuh dengan lelaki India, Bangladesh, Pakistan, Indonesia atau Filipina. Hujung minggu, pekerja buruh keluar outing. Berbondong-bondong turun dari bas atau berjalan berjujukan sepanjang jalan ke pusat bandar.
     Pekerja asing memang ramai di Rabigh. Kebanyakannya merupakan pekerja binaan dan pekerja kilang Petro Rabigh. Malahan, pekerja pasar raya, kedai runcit dan restoran juga semuanya pekerja asing. Orang Arab jadi bos sahaja.
     Prospek kerja di Arab Saudi memang banyak terutama dalam sektor pembangunan dan industri berasaskan minyak. Berdasarkan statistik tahun 2014, jumlah tenaga buruh asing di Arab Saudi lebih kurang 10 juta atau 32% penduduknya yang seramai 30.8 juta.
     Rakyat Malaysia juga suka datang bekerja ke Arab Saudi. Tarikan utama ialah dua tanah suci (haramain): Mekkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah, di samping gaji yang lumayan.
     Orang Malaysia lebih suka bekerja di sekitar Jeddah atau Yanbu kerana lokasinya berdekatan dengan Alharamain. Mungkin tidak ramai orang Malaysia yang tahu tentang Rabigh yang bagi saya lebih strategik.
     Pekerja Malaysia mempunyai imej yang tinggi di Arab Saudi. Nombor dua selepas pekerja dari USA, Eropah dan Korea-Jepun. Rakyat Malaysia hanya boleh datang bekerja sebagai profesional dan mahir. Sekurang-kurangnya mempunyai diploma. Tiada peluang untuk bekerja sebagai buruh atau pekerja domestik.
     Kebanyakannya wanita Malaysia bekerja sebagai jururawat dan pensyarah universiti. Manakala lelaki pula bekerja dalam industri petrokimia dan bidang pembinaan.
     Untuk mencuba nasib di Arab Saudi, kita perlu semangat tinggi dari segi mental dan fizikal serta mempunyai matlamat yang jelas. Saya datang bekerja di Arab Saudi bukan untuk mengejar gaji lumayan, sebaliknya untuk menuntut ilmu dan mengambil peluang berada dekat dengan haramain.
     Saya berpeluang belajar mengenai persekitaran yang berbeza terutama dari segi budaya, bahasa, kehidupan serta bergaul dengan saudara dari berbagai negara.
     Bagi saya pekerjaan ini adalah satu ibadat yang mengajar erti kejujuran, ketelusan selain serius dalam menunaikan tanggung jawab kerana Allah. Selama lebih dari empat bulan sebagai pensyarah di Arab Saudi, saya mendapat banyak pengalaman berharga yang tidak mungkin diperolehi di tempat lain.
     Saya bersyukur kerana berpeluang bekerja sambil belajar di bumi Arab Saudi. Semoga pengorbanan saya meninggalkan keluarga tercinta di Malaysia demi menimba pengetahuan dan pengalaman bekerja di perantauan diterima Allah sebagai ibadat.

1 Comments:

At 11 June 2019 at 13:53 , Blogger fajar jalal said...

bagaimana utk apply kerjaya sebagai pensyarah di sana?

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home