Memori Saudi - Jeddah, Bukan Sekadar Corniche dan Masjid Terapung
Kampus utama King Abdulaziz University terletak di Jeddah. Saya kerap pergi ke Jeddah kerana urusan universiti dan juga untuk shopping.
Jeddah berasal dari bahasa Arab “Jaddah” atau “Juddah” yang bermakna nenek. Nama ini dikaitkan dengan suatu cerita sejarah bahwa nenek moyang manusia, Hawa, dikuburkan di kota itu.
Jeddah adalah bandar kedua terbesar di Arab Saudi selepas ibu negaranya Riyadh. Kedudukan yang strategik di pinggir Laut Merah menjadikannya bandar perhubungan dan perdagangan antarabangsa terbesar di Timur Tengah.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah merupakan salah satu pintu masuk utama ke negara Arab Saudi. Lapangan terbang itu terbahagi kepada empat terminal penumpang yang terletak agak berjauhan.
Semasa mula-mula pergi dahulu, saya dan keluarga diberi tiket kelas ekonomi dengan penerbangan Saudi Airlines. Semua penerbangan Saudi Airlines dan Flynas Airlines, domestik dan antarabangsa beroperasi di Terminal Selatan.
Cuti musim panas, saya pulang dengan penerbangan Malaysian Airlines System (MAS) sebab saya boleh daftar masuk beg terus ke Kota Bharu. MAS dan semua penerbangan asing beroperasi di Terminal Utara.
Terminal ketiga iaitu Terminal Haji hanya dibuka pada musim haji. Terminal keempat adalah Terminal Diraja yang dikhaskan untuk raja, kerabat diraja, orang kenamaan dan pemimpin negara luar yang melawat Arab Saudi.
Seperti bandar metropolitan yang lain, Jeddah pesat membangun. Terdapat banyak bangunan tinggi pencakar langit dengan reka bentuk unik. Sebuah bangunan ikon baru yang sedang dalam pembinaan ialah Kingdom Tower Jeddah yang akan menjadi bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian satu Kilometer.
Perkara menarik yang saya perhatikan di sekitar Jeddah ialah terdapat banyak tugu bersaiz gergasi yang agak pelik di round about dan tepi-tepi jalan. Ada tugu berbentuk basikal, bebola mata, pedang, kapal layar, badan atom, geometri dan globe.
Yang pelik sekali bagi saya ialah tugu Jeddah Eye, sebuah tembok tembaga yang diukir dengan satu mata. Setiap kali melintasi jalan tugu itu saya terasa seperti mata Dajjal memerhati dari jauh.
Lawatan ke Jeddah tidak lengkap kalau tidak melawat Masjid Rahmah atau lebih dikenali sebagai masjid terapung yang terletak di Corniche iaitu jalan pantai Laut Merah. Biasanya pada petang Jumaat dan Sabtu, Corniche dikunjungi ramai keluarga Arab untuk berkelah bersama keluarga.
Satu tempat lain yang menjadi tumpuan pengunjung Jeddah ialah Air Pancut Raja Fahd. Air pancut tertinggi di dunia itu mencapai ketinggian maksimumnya 312 meter menggunakan 3 pam besar yang mampu menghantar 625 liter air per saat.
Tempat lain yang sempat saya kunjungi di Jeddah ialah Balad, kota lama Jeddah. Balad mempunyai bangunan rumah dan pejabat komersial yang dibina mengikut binaan tradisional Arab. Dengan kepesatan pembangunan, bangunan lama kini sudah hampir ditenggelami oleh bangunan moden pencakar langit.
Kebiasaanya jemaah haji atau umrah akan dibawa untuk membeli belah di Balad terutamanya di Corniche Commersial Center. Di sekitar Balad terdapat banyak kedai pakaian, minyak wangi, cenderahati dan berbagai lagi yang menawarkan harga yang berpatutan. Harga barangan di situ lebih murah daripada barangan di shopping mall yang besar-besar.
Selain itu, Jeddah juga syurga bagi orang yang suka membeli-belah barang berjenama dari seluruh dunia. Shopping mall besar seperti Red Sea Mall, Arabian Mall dan berbagai mall berselerak di seluruh kota Jeddah. Semasa minggu gaji, shopping mall biasanya sangat sibuk. Selain daripada bershopping, keluarga pergi ke shopping mall untuk makan-makan dan berhibur di taman tema.
Di Rabigh hanya ada restoran makanan ala-ala Arab dan barat sahaja. Oleh itu, setiap kali ke Jeddah, saya dan kawan-kawan tidak melepaskan peluang singgah makan di restoran yang menyajikan makanan Asian. Biasanya restoran masakan Thai seperti Restoran Rasa Thai dan Restoran Asian menjadi pilihan kami.
Kalau pergi Jeddah dengan anak-anak Dr. Hasan dan anak-anak Nora, biasanya kami singgah di restoran makanan segera Al-Baik. Ayam goreng dan makan segera murah dan lebih sedap daripada KFC.
Penduduk Jeddah lebih daripada 3.5 Juta orang. Yang ramainya adalah pendatang asing dari seluruh dunia. Etika pakaian abaya dan niqab tidak dilaksanakan di Jeddah. Wanita kelihatan bebas berpakaian. Namun, majoriti memilih memakai abaya hitam walaupun hanya membelit tudung di leher atau di kepala dengan rambut perang terjulur keluar.
Oleh kerana ramai pendatang asing tinggal di Jeddah, terdapat banyak sekolah antarabangsa yang dibangunkan khas untuk anak-anak pendatang. Terdapat sekolah antarabangsa Amerika, British, Pakistan, India, Indonesia dan berbagai lagi.
Kesempatan bekerja di KAU memberi gambaran baru tentang Jeddah. Kota itu bukan sekadar pintu masuk jemaah haji dan umrah. Bukan hanya ada Corniche dan Masjid Terapung. Jeddah, kota metropolitan itu akan menjadi lebih tersohor apabila menara tertinggi dunia setinggi satu kilometer siap menerjah langit.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home