Sunday, 13 November 2016

Memori Saudi - Makan Angin di Taif

Bulan pertama di Rabigh, suami dan dua orang anak saya ada bersama. Saya dan suami sibuk ke sana sini menguruskan iqamah. Sebagai orang baru pindah, rumah kami belum ada TV dan Internet. Anak-anak kelihatan bosan di rumah. Tanpa TV dan Internet kehidupan menjadi resah gelisah.
    Untuk menghiburkan hati anak-anak, saya dan Nora berpakat pergi makan angin ke Taif iaitu bandar percutian musim panas yang terletak di kawasan pergunungan.
     Saya sekeluarga, Nora dan dua orang anaknya pergi dengan kereta yang dipandu oleh Abdul Rahman. Kedudukan Taif ialah 307 Km dari Rabigh, 101 Km dari Mekah.
    Perjalanan mengambil masa tiga jam dengan melalui jalan berliku di lereng gunung berbatu. Kelihatan banyak monyet jenis babun berkeliaran di tepi jalan menunggu kedatangan pelancong.
     Sampai di Taif kami singgah di rumah Profesor Yusof yang mengajar di University Taif. Selepas berehat dan makan-makan, Profesor Yusof membawa kami bersiar-siar di sekitar Taif. Alhamduillah ada pemandu pelancong. Kalau tidak, kami pun tidak tahu hendak menuju ke mana.
     Melawat tempat sejarah Rasulullah s.a.w di Arab Saudi tanpa pemandu pelancong mungkin agak sukar kerana kerajaan Arab Saudi tidak menjaga tempat-tempat tersebut. Tempat sejarah Rasulullah s.a.w. dan sahabat hampir kesemuanya dimusnahkan.
     Mula-mula Profesor Yusof membawa kami ke tempat sejarah Rasulullah dihalau dan dilontar batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah semasa baginda pergi untuk menyebarkan Islam.
    Berkat doa Rasulullah, Taif menjadi tanah yang subur. Terdapat banyak dusun buah-buahan dan kebun sayur-sayuran seperti di Cameron Highland. Tempat yang paling menarik di musim panas ialah kebun bunga ros. Taif merupakan pengeluar pati bunga ros kedua terbesar dunia.
     Pada musim panas Taif menjadi tumpuan pelancong dari dalam negeri yang melarikan diri daripada panas melampau di padang pasir. Kami pergi pada hujung bulan Februari, cuaca sejuk dan nyaman. Terdapat banyak taman tema dan resort pelancong.
     Kami tidak sempat mengunjungi taman tema kerana hanya dibuka selepas waktu Asar. Abdul Rahman membawa kami singgah di stesen kereta kabel yang bertempat di Hotel Ramada Al Hada.
     Tidak seperti zaman muda dahulu, dalam usia 50’an, saya sudah jadi penakut. Tidak berani lagi hendak naik roller coaster atau kereta kabel. Saya dan suami menunggu di restoran sementara anak-anak saya, Nora dan anak-anaknya naik kereta kabel.
     Dalam perjalanan pulang kami singgah di Masjid Abdullah Ibnu Abbas untuk solat Asar. Sebak dalam hati saya melihat masjid pertama yang dibina di Taif oleh sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah Ibnu Abbas kelihatan usang dan tandasnya sangat kotor.
     Kali kedua, saya pergi ke Taif pada petengahan bulan Mei semasa dalam perjalanan pulang dari Mekah bersama anak-anak lelaki saya. Cuaca tidak lagi nyaman. Taif sudah tidak layak dipanggil tempat percutian musim panas kerana baru bulan Mei, keadaan cuaca sudah bertukar menjadi sangat panas.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home