Saturday, 19 November 2016

Memori Saudi - Hotel Dekat Masjidil Haram

"Che Pah, I akan pi umrah pada 6 April. Insya Allah kami duduk Mekah Hilton".
"Kami sudah ada di Mekah. Hotel Saraya Ajyad". "Kami duduk Hotel Talaal Badru".
"We are in Mekah. We stay in Dar al Tawhid Intercontinental".
     Semenjak tinggal di Rabigh, setiap kali ada kenalan atau saudara mara datang umrah, pasti saya akan menerima mesej yang berbunyi lebih kurang seperti di atas. Semuanya akan memberikan nama hotel supaya mudah sekiranya hendak berjumpa.
     Sesiapa yang pernah ke Masjidil Haram pastinya akan tahu kedudukan Dar al Tawhid Intercontinental atau Mekah Hilton. Kedua-dua hotel itu sudah lama wujud dan masih kekal sebagai hotel paling dekat dengan Masjidil Haram. Kalau disebut Saraya Ajyad atau Talaal Badru, ramai yang tidak tahu. Perlu buka peta Google untuk cari lokasi. Kadang-kadang nama hotel tidak masuk peta!
     Setiap yang hendak pergi umrah atau haji, sudah pasti ditanya, "Duduk hotel mana?". Nama hotel di Mekah atau Madinah melambangkan status dan kemampuan jemaah. Semua jemaah mahukan hotel dekat, tetapi harga pakej biasanya tinggi. Kalau hendak murah, biasanya hotel pulak jauh. Dekat atau jauh hotel dari Masjidil Haram menjadi penanda aras nilai pakej.
     Setelah berpeluang mengerjakan umrah beberapa kali secara persendirian dari Rabigh, saya berpeluang meninjau kedudukan hotel yang paling dekat dengan Masjidil Haram.

1. Dar Al Tawhid Intercontinental - Hotel Dar Al Tawhid Intercontinental adalah hotel yang termahal di Mekah. Hotel ini dimertabatkan sebagai hotel yang terbaik di Mekah. Bilik-bilik  penginapan juga mempunyai pemandangan Ka'bah.
2. Fairmont Hotel Makkah - Terletak di menara jam besar Mekah betentangan dengan pintu Malik Abdul Aziz. Jaraknya 50 meter ke Masjidil Haram. Hotel ini adalah setinggi 76 tingkat iaitu bangunan paling tinggi di Mekah. Ia mempunyai 1299 bilik dengan 56 lift.
3. Swiss Hotel Makkah - Swiss Hotel Makkah juga terletak di menara jam besar Abraj Al Bait. Hotel ini mempunyai 1487 bilik. Bangunan yang mewah dan moden ini direka bentuk menghadap Masjidil Haram. Tetamu dapat melihat Ka'bah dengan jelas dari bilik hotel. Hotel ini mempunyai ruang solat terbuka yang mempunyai pemandangan Ka'bah di tingkat 8. Ruang yang luas ini boleh menampung sehingga 800 orang.
4. Movenpick Hotel dan Residence Hajar Tower Makkah - Hotel ini mempunyai 41 tingkat dengan 1204 bilik. Ia juga berada di bangunan jam besar Mekah, bersebelahan dengan Swiss Hotel Makkah.
5. Raffles Makkah Palace Hotel - Hotel ini terletak di kompleks Abraj Al Bait merupakan penginapan dengan 214 bilik. Jaraknya ialah sejauh 100 meter saja ke Pintu Malik Abdul Aziz
6. Hilton Mekkah Hotel - Hotel ini terletak diantara Hotel Dar Tauhid Intercontinental dan Abraj Al Bait. Hilton Mekkah Hotel bergaya klasik dan elegan. Ia mempunyai 700 bilik penginapan.
7. Al Safwa Orchid Royale Hotel - Dibandingkan dengan hotel-hotel yang telah disebutkan diatas, kadar harga hotel ini lebih rendah berbanding hotel lain yang berdekatan. Hotel Al Safwa ini berjarak sekitar 100 meter dari Pintu Malik Abdul Aziz. Bilik penginapannya juga mempunyai pemandangan Ka'bah.
     Demikianlah ringkasan tentang hotel yang paling dekat dengan  Masjidil Haram sehingga bulan Jun 2015. Kawasan sekitar Masjidil Haram sentiasa berubah. Mungkin sedikit masa lagi ada hotel lain yang lebih dekat lagi.
     Bagi saya, tidak perlu membazirkan wang kalau sewa hotel terlalu mahal. Kalau pergi sendiri, kita boleh memantau kadar sewa hotel melalui agoda.com atau booking.com. Kadang-kadang hotel mewah yang berdekatan juga boleh disewa dengan kadar yang berpatutan.
     Hotel murah pun tidak mengapa. Cukup sekadar boleh mandi dan rehat sebentar. Keselesaan hotel mahal mungkin menambat nafsu kita untuk banyak berehat di hotel sedangkan tujuan utama ke Mekah ialah untuk membanyakkan masa beriktikaf di Masjidil Haram.
     Daripada bayar hotel mahal lebih baik kita bersedekah untuk menempah tempat tinggal selesa di syurga yang kekal abadi. Tepuk poket, tanyalah iman!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home