Memori Saudi - Badan Epal dan Pear
Hampir setiap hari saya berjalan selama satu jam untuk riadah. Biasanya saya keluar selepas Asar. Matahari masih tinggi lagi. Kulit tidak terasa panas matahari kerana keseluruhan badan terlindung kecuali dua biji mata. Pakaian riadah saya: t-shirt dan seluar tight di dalam abaya, kasut berjalan (walking shoes) dan sudah pasti memakai niqab.
Sepanjang pengalaman saya di Rabigh, tidak pernah saya lihat lelaki atau wanita arab beriadah di jalan atau di taman rekreasi. Kalau pergi ke taman rekreasi atau ke pantai, mereka bentang karpet dan berpiknik sahaja sambil melihat anak-anak bermain. Mungkin mereka beriadah di fitness club agaknya. Namun, di sekitar Rabigh tiada fitness club untuk wanita kecuali di dalam Petro Rabigh Compound.
Bila saya bertanya kawan-kawan atau pelajar arab, memang mereka tidak beriadah di luar. Bagi yang health contious, mereka akan membeli alat senaman untuk beriadah di rumah atau berjalan di atas bumbung rumah. Majoritinya, masa di rumah menghadap televisyen satelit yang mempunyai beratus-ratus saluran tidak bertapis.
Secara umumnya badan orang arab memang lebih besar dan tinggi daripada orang Malaysia. Saya perhatikan ramai wanita yang telah berkahwin mempunyai postur tubuh buah pear iaitu lebar di bahagian pinggul dan peha. Lelakinya pula seperti buah epal, perut buncit dan kaki kecil. Itu tandanya gaya hidup tidak seimbang. Makan dan rehat lebih daripada bergerak.
Dilihat dari pola makan dan apa yang dimakan agak berbeza dengan amalan di Malaysia. Orang Arab juga mempunyai tiga waktu makan utama iaitu sarapan pagi (Futur), makan tengahari (Ghada'), dan makan malam (Asya'). Ada juga masa untuk minum teh dan kopi.
Di pejabat saya perhatikan staf mulakan pagi mereka pada pukul lapan dengan berkumpul beramai-ramai untuk sarapan. Menu sarapan biasanya roti arab (khubz) yang dicicah kuah kacang berempah (Foul Madamis). Tambahan itu ada juga keju, buah zaitun jeruk, madu, yogurt, laban (susu masam) dan kadang-kadang ada telur dadar atau telur rebus. Selepas sarapan, mereka bersurai ke meja kerja masing-masing.
Lebih kurang pukul sepuluh, aroma kopi arab (Gahwa) atau teh (Syai) tidak bergula yang ditambah mint pula menerjah hidung. Boleh dikatakan sepanjang waktu di pejabat, termos kopi atau teh tidak pernah kering. Kopi dan teh dituang ke dalam cawan kecil diminum sambil mengunyah buah kurma atau coklat sebagai pemanis.
Pelajar wanita juga begitu. Berpiknik di meja kafetaria dan di sepanjang kaki lima dengan berbagai makanan yang dibawa dari rumah atau dihantar melalui pesanan telefon. Domino Pizza, Mc Donald, ayam goreng, kek atau ais krim Baskin Robbin, cup cakes dan macam-macam lagi terhidang sambil mereka berbual atau mengulang kaji. Minuman utama pula ialah Pepsi dan minuman botol sizling.
Saya tidak pernah nampak mereka makan tengahari di pejabat. Waktu pejabat tamat pukul dua petang. Mereka bergegas pulang ke rumah untuk makan tengahari bersama keluarga. Menurut Salma, menu makan tengahari biasanya nasi. Ada nasi putih yang dimasak dengan sedikit minyak zaitun, garam dan biji pelaga. Ada juga nasi briyani, nasi kabsah (nasi tomato berwarna merah) atau nasi bukhari (nasi dengan minyak sapi yang ditambah sedikit syafron kuning dan kismis). Pelengkapnya boleh jadi daging, ayam atau kambing panggang/goreng serta sayuran segar. Minuman air putih atau beraneka jus.
Selepas Asar pula mereka minum kopi atau teh bersama keluarga. Biasanya dilengkapkan dengan kueh manis arab seperti Kunafa, Baklava, Basybusa, Felafel, Sambosa atau Syawerma (Kebab).
Menurut Salma, waktu makan malam mereka paling awal pada pukul 9 malam. Menu makan malam hampir sama dengan menu makan tengahari. Kalau ada parti atau majlis perkahwinan, makanan utama (nasi) hanya akan tersedia menjelang waktu subuh.
Begitulah punca jadinya pear dan epal! "An epal a day shy away the doctor". Tapi kalau badan sudah jadi pear atau epal, kerap pula kena berjumpa doktor.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home