Memori Saudi - Rama-rama dalam Hati
"Kenapa umi letak semua baju dan kain ihram abah dalam beg kami kami? Nanti abah nak datang banyak pulak hendak bawa", tanya Ammar bila melihat saya sudah kosongkan almari baju suami saya.
"Balik summer ni umi rasa macam tidak mahu mai dah!", saya menjawab perlahan sambil menahan sebak di dada.
"Aikkk.... Tak apa kah macam tu?", tanya Ammar kehairanan.
"InsyaAllah tak apa. Kontrak umi habis 13 Ogos 2015. Surat notis untuk tidak mahu sambung kontrak boleh diberi sekurang-kuranganya dua bulan sebelum tamat kontrak. Sampai rumah nanti tengoklah macam mana. Umi rasa sedih bila Ami Din hantar mesej yang tok dan tok let nampak semakin uzur".
Dalam hati, saya sayang juga untuk tidak mahu datang lagi ke Rabigh. Saya suka tinggal dan bekerja di sini. Tapi runtunan rindu suami, anak-anak dan ibu bapa mengatasi perasaan suka. Tambahan pulak sejak kebelakangan ini saya kerap bermimpi yang kurang baik tentang keluarga. Saya bermimpi di Mekah dan di rumah juga.
Entahlah, saya bukan seperti Nabi Yusuf yang mempunyai mukjizat mentafsir mimpi. Hati saya saja yang mentafsir bahawa saya mesti pulang terus ke pangkuan keluarga.
Tidak sanggup saya membaca mesej suami yang kerinduan, melihat gambar anak bongsu yang macam hilang arah dan mendengar berita ibu bapa yang semakin uzur. Saya pasti mereka rindukan saya dan mengharap saya tidak datang ke Rabigh lagi.
Teringat peristwa dua minggu sebelum tarikh penerbangan pulang ke Malaysia. Profesor Wardah tinggalkan pesan kepada Nora supaya saya berjumpa dia pada hari Isnin 25 Mei tentang cuti musim panas.
"Profesor Wardah kata Che Pah mungkin tidak boleh balik cuti summer ini sebab baru bekerja tidak sampai setahun", kata Nora pada saya. Terasa muka saya merah dan hati berdegup kencang kerana bimbang tidak boleh balik bercuti seperti yang dirancang
Balik dari pejabat saya terus bergegas mencari salinan kontrak. Saya baca dengan teliti. Kontrak saya enam bulan lima belas hari dan mendapat cuti bergaji penuh selama dua bulan (60 hari). Cuti musim panas 74 hari!
Rama-rama ligat berterbangan di dalam hati. Saya tidak beritahu lagi perkara ini kepada tiga orang anak lelaki yang datang melawat. Pada hari itu mereka sudah bersedia untuk berangkat pulang ke Kota Bharu pada pukul 4 petang.
Saya hanya terus berdoa sendirian supaya Allah berikan yang terbaik untuk saya.
Hari Isnin saya bawa salinan salinan kontrak berjumpa Profesor Wardah. "Mengikut kontrak ini saya dapat cuti 60 hari bergaji penuh. Saya hendak balik pada 6 Jun dan datang semula pada 15 Ogos. Saya tidak kisah kalau universiti potong gaji saya untuk 15 hari lagi. Tolong beri pasport dan exit reentry visa sebelum 4 Jun", begitulah saya tegaskan kepada Profesor Wardah.
"InsyaAllah, you can go back. I know how you feel", balas Profesor Wardah sambil tersenyum. Saya juga tersenyum tetapi rama-rama dalam hati terbang laju. Selagi tidak dapat pasport dan visa exit reentry di tangan, selagi itulah rama-rama akan terus terbang.
Alhamdulillah, empat bulan empat hari yang penuh dengan kenangan manis akan saya ingat sampai ke mati. Mungkin cerita hidup di Rabigh akan menjadi tajuk cerita utama saya dengan cucu-cucu nanti seperti bapa saya yang terus bercerita kenangan dia merantau di seluruh Malaysia dengan motor pada zaman remajanya.
"Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa ku, berilah rahmat kepada ku dan permudahkan segala urusan untuk aku pulang ke pangkuan keluarga tercinta"
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home