Wednesday, 23 November 2016

Memori Saudi - Menari di Pusat Dakwah

"Welcome to share your special tea or coffee at Rabigh Dawah Center". Sister Mashitah yang berasal dari Perth,  Australia menghantar mesej berkenaan. Jemputan untuk minum petang sempena percutian musim panas.
      Hampir setiap Selasa dan Jumaat petang saya akan pergi ke Dawah Center Rabigh untuk belajar Quran dan bahasa Arab. Staf Dawah Center sangat baik dan peramah. Kalau saya tidak hadir, pasti sister Mashael akan menghantar mesej bertanya khabar. Walaupun baru berkenalan tetapi terasa ukuhuwah sungguh rapat.
     Petang itu tanpa disangka, bukan sekadar jamuan teh biasa, rupanya ada tazkirah sempena Ramadan dan juga parti perkahwinan guru Quran kami, Shaima. Masya Allah, Tabarakallah. Shaima muncul tiba-tiba dengan baju pengantin yang beropol-ropol dan bergemerlapan.
     Shaima baru mendaftar pernikahannya tetapi akan melangsungkan majlis resepsi selepas Aidil Fitri. Majlis itu dibuat khas untuk kami yang tidak dapat hadir ke majlisnya nanti. Saya ingatkan Pusat Dakwah hanya tempat kelas dan ceramah agama, rupanya aktivitinya berbagai-bagai.
     Majlis malam itu dimeriahkan dengan ucapan daripada setiap sister kepada Shaima. Setiap orang diminta menyanyi untuk Shaima dalam bahasa masing-masing. Sister Shaheeda menyanyi lagu hindustan, sister Mariam dengan lagu Tagalog, saya dan Nora pula menyanyi lagu Melayu. Sisters arab berzanji dengan suara yang sungguh mengasyikkan.
     Bukan itu sahaja, semua yang hadir diminta menari untuk Shaima. Ya, tarian arab! Malu-malu, saya turut menari juga dengan sisters yang lain.
     Setahu saya, di Arab Saudi tidak ada hiburan yang membenarkan percampuran jantina. Jadi bila ada majlis perkhawinan, kaum wanita akan mengambil kesempatan itu untuk melaram dan bergembira.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home