Friday, 25 November 2016

Memori Saudi - Fesyen

Semasa mula membeli-belah di Jeddah dan Rabigh, saya hairan melihat banyak butik pakaian wanita yang mempamerkan pakaian berjenama bermacam fesyen. Siapa yang beli pakaian-pakain tersebut? Bila dilihat sekeliling, hampir semua wanita berabaya dan berniqab hitam sahaja.
     Saya hampir tidak percaya bila membaca Arab News yang menyatakan, “Seorang wanita Arab Saudi berbelanja hampir 30 ribu riyal (RM25,435) setahun membeli pakaian manakala lelaki memperuntukkan 10 ribu riyal (RM8,478) untuk tujuan sama"
     Rupa-rupanya di sebalik abaya dan niqab tersembunyi pakaian berjenama bermacam  fesyen!
      Di seluruh Arab Saudi, wanita perlu berpakaian mengikut kod pakaian tertentu apabila berada diluar rumah atau ketika ada lelaki yang bukan mahram. Abaya merupakan pakaian tradisional wanita Arab yang dipakai diluar pakaian yang lain. Abaya berbentuk seperti baju labuh beserta dengan lengan yang panjang yang menutupi badan pemakainya dari kepala hingga ke hujung kaki.
     Kebiasaannya abaya berwarna hitam. Tetapi pada masa kini, abaya boleh didapati dengan pelbagai warna mengikut kesukaan pemakainya. Abaya juga turut diserikan lagi dengan aksesori tambahan seperti sulaman benang perak, tambahan labuci dan manik- manik yang berwarna-warni. Reka bentuk abaya dan corak rekaannya juga berbeza mengikut status pemakainya dan juga tempat abaya ini dipakai.
     Selain abaya, wanita Saudi juga memakai niqab. Ada jenis niqab yang menutup seluruh muka dan ada yang terbuka sedikit di bahagian mata.
     Lelaki Saudi juga kelihatan memakai pakaian seperti orang barat. Berbagai gaya dan jenama.
     Namun, pakaian rasmi ke pejabat atau pakaian sekolah lelaki dikenali sabagai thawb. Orang Malaysia panggil jubah! Thawb merupakan sejenis pakaian seperti kemeja berlengan panjang tapi thawb lebih labuh sehingga paras buku lali. Thawb selalunya berwarna putih dan di pakai bersama seluar dalam yang dipanggil sirwal.
     Rekaan thawb adalah berbeza dari segi bentuk potongan lehernya dan berbeza pada lipatan di bahagian lengannya. Bagi thawb yang mahal harganya, lipatan pergelangan tangannya adalah diperbuat daripada bahan yang mahal.
     Selain itu, ada juga pakaian lelaki yang di panggil bisht atau mishlah. Bisht dipakai di luar thawb pada waktu-waktu tertentu seperti mendapat penghormatan, menghadiri majlis perkahwinan dan hari perayaan. Bisht terdapat dalam berbagai warna dan diserikan dengan aksesori tambahan seperti sulaman benang emas.
     Aksesori tambahan pakain lelaki ialah futrah iaitu penutup kepala yang berbentuk skaf segitiga yang dipakai di atas taqiyah atau kopiah. Tujuan pemakaian futrah adalah untuk melindungi pemakainya daripada sinaran matahari dan debu pasir.
     Penggunaan futrah dilengkapi dengan igal iaitu sejenis tali tebal yang digunakan bagi mengekalkan kedudukan futrah di kepala pemakainya. Igal selalunya berwarna hitam. Igal diperbuat daripada kulit binatang seperti unta dan lembu. Igal juga boleh dihasilkan daripada kapas dan bulu binatang.
     Rupa-rupanya wanita dan lelaki Arab Saudi mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi. Bukan sekadar abaya dan jubah.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home