Memori Saudi - Cuti Musim Panas Pertama dan Terakhir
Ketibaan saya untuk cuti musim panas disambut oleh suami dan anak-anak dengan senyum lebar. Sebaik melangkah masuk ke rumah, rama-rama yang beterbangan di dalam hati terus hilang entah ke mana. Alhamdulillah dapat peluk suami dan anak-anak lagi. Syukur, selama empat bulan empat hari saya tinggalkan rumah semuanya tetap seperti biasa. Kesan-kesan banjir juga hampir tidak lagi kelihatan.
Namun, bila saya balik ke kampung untuk berjumpa mak dan ayah, hati saya menjadi sayu bila melihat keadaan mereka yang semakin uzur. Ayah yang berumur hampir 80 tahun kelihatan masih kuat tetapi ternyata kesan dimensia nya semakin ketara. Cerita yang sama diulang berkali-kali. Kadang-kadang terlepas waktu solat berjemaah di masjid.
Dalam usia mencecah 70 tahun, emak pula sudah tidak boleh berjalan sendiri, walaupun dengan tongkat berkaki empat. Dia terpaksa menggagahkan tangan untuk naik duduk di atas kerusi roda. Otot-otot kaki emak sudah lemah kerana lama tidak bersenam dan fisio. Adik-adik kata emak tidak mahu dengar cakap mereka untuk bersenam supaya otot terus kuat. Sekurang-kurangnya boleh berjalan dengan tongkat. “Kak sahaja yang boleh paksa emak bersenam dan berjalan”, kata adik-adik saya.
Dengan kata-kata itu, sekelip mata hati saya berubah. Kepulangan saya bukan untuk bercuti, tetapi pulang selama-lamanya. Tidak sanggup lagi saya hendak berjauhan dengan emak dan ayah. Alhamdulillah selama pemergian saya, tiada apa-apa kecemasan menimpa keluarga. Hati saya bertekad untuk peruntukkan lebih banyak masa bersama ibu-bapa di penghujung usia mereka. Semoga pahala melihat kaabah dapat saya gantikan dengan melihat ibu-bapa.
Menyedari yang kontrak saya akan tamat pada 13 Ogos 2015, saya cepat-cepat menghantar surat notis untuk tidak mahu meyambung kontrak. Notis dua bulan dihantar melalui emel kepada Dekan dan Timbalan Dekan (Bahagian Wanita). Salinan emel saya hantar juga kepada Nora dan Dr. Sulaiman yang bersusah payah menyokong saya masuk ke FCIT.
“Kalau satu semester sahaja sudah tidak mahu sambung kontrak, nanti bimbangnya kawan-kawan kita dari Malaysia hendak datang sini susah pulak. Takut arab hilang kepercayaan”, terngiang-ngiang peringatan Dr. Sulaiman apabila saya kemukakan beberapa persoalan semasa berbual-bual dengan dia di Rabigh. Saya harap keputusan saya untuk tidak mahu sambung kontrak tidak menyusahkan mana-mana pihak.
Alhamdulillah notis saya diterima baik oleh Profesor Wadiah, Timbalan Dekan (Bahagian Wanita). Katanya pihak universiti akan menguruskan supaya visa exit reentry saya ditukar kepada final exit. Syukur Profesor Wadiah faham dan berkongsi kesedihan tentang keadaan ibu-bapa saya.
Semasa buat keputusan hendak pergi tempoh hari, saya fikirkan yang saya akan tabah untuk tinggal di Saudi selama dua tahun. Rupa-rupanya hati saya ini terus cair bila memikirkan terpaksa berpisah lagi dengan ibu-bapa, suami dan anak-anak. Tidak sanggup lagi untuk terus memujuk hati ini.
“Macam mana dia buat keputusan hendak pergi, macam itu lah dia buat keputusan untuk tidak balik ke sana”, sindir suami saya bila kawan-kawan dan adik-beradik bertanya kenapa saya tidak mahu kembali ke Saudi.
Empat bulan empat hari merantau sendirian di Saudi adalah satu kenangan manis yang akan saya kenang sepanjang hayat. Suka, rindu, takut, insaf semuanya bercampur baur bila mengenangkan Memori Saudi. Semoga setiap detik saya di sana ditulis sebagai ibadah yang akan menjadi bekalan di akhirat yang kekal abadi.