Memori Saudi - Tidak Jumpa Tandas
Universiti dan sekolah di Arab Saudi semuanya bercuti panjang pada musim panas. Tahun 2015 cuti bermula pada 5 Jun hingga pertengahan Ogos. Namun begitu, pensyarah ditawarkan untuk mengajar kursus semester musim panas. Sesiapa yang tidak mahu bercuti boleh mengajar.
Kalau mengajar musim panas, dapat banyak duit. Gaji musim panas dua kali ganda gaji musim biasa. Pensyarah dari negara lain terutamanya India, berebut-rebut hendak mengajar musim panas. Pensyarah dari Malaysia semuanya mengambil peluang balik kampung. Cuti dua bulan bergaji penuh.
Awal bulan Mac pensyarah yang hendak bercuti sibuk mengisi borang permohonan waran tiket kapal terbang. KAU membayar tambang pergi balik untuk staf dan tiga orang ahli keluarga yang mendapat iqamah. Saya, suami dan dua orang anak mendapat tambang dua hala Jeddah-Kota Bharu.
Apabila permohonan diluluskan, saya menumpang Dr. Hasan dan isterinya pergi membuka akaun dengan Al-Tayyar, agen rasmi untuk tempahan tiket kapalterbang yang mempunyai pejabat di KAU Jeddah. Wanita tidak boleh masuk pejabat tanpa ada pengiring lelaki. Setelah sepagi berurusan, masing-masing sibuk mencari tandas.
Saya dan kawan-kawan perempuan lain memusing-musing cari tandas wanita di pejabat pentadbiran KAU yang tersegram luas. Pusing punya pusing tidak jumpa tandas. Bila ditanya, rupanya memang tidak ada tandas wanita. Tidak ada staf wanita di pejabat. Wanita juga jarang sekali pergi berurusan, jadi tandas wanita tidak disediakan. Dalam perjalanan keluar dari kampus, terpaksalah kami berhenti di KAU Medical Center untuk menggunakan tandas.
Bercakap tentang tandas, teringat pulak peristiwa semasa dalam perjalanan ke Mekah. Sepanjang jalan 196 Km, tidak ada langsung tempat rehat dan tandas. Dalam keadaan kecemasan untuk buang air kecil saya terpaksa menebalkan muka meminta Harun berhenti di tepi jalan. Apa hendak buat, melepas saja di tepi kereta. Mujur ada air botol untuk basuh dan sun shield jadi tabir!
Sebenarnya kereta berhenti di tepi jalan memang kerap dilihat. Berhenti untuk apa tidak pastilah. Mungkin kecemasan juga agaknya. Padang pasir sahaja menjadi saksi.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home