Memori Saudi - Apikasi Umrah Dalam Kehidupan
Pada pukul 11.15 pagi 6 April 2015 saya menerima mesej daripada Farah, "Assalamualaikum Dr. InsyaAllah kami nak pergi Mekah pukul 11.30 ni. Dr. nak ikut?". Pagi Isnin saya tiada kelas. Biasanya duduk di rumah menyediakan kuliah, menulis atau membaca sahaja. Hari Isnin pukul 10 hingga 11 saya buat kelas bimbingan E-Business kepada anak-anak Nora.
Memang santai bekerja di KAU Rabigh. Saya cuma mengajar dua subjek. Kelas cuma enam jam seminggu dengan bilangan pelajar empat dan sembilan orang sahaja. Alhamdulillah Allah beri nikmat masa lapang kepada saya yang tidak patut saya dustai.
"Saya hendak ikut", jawab saya ringkas kepada Farah. Dalam masa sepuluh minit saya mandi dan solat sunat ihram. Ya, sebelum menghadap Allah, saya perlu mensucikan diri terlebih dahulu, mensucikan badan, mensucikan hati, dan mensucikan pikiran. "Saya sudah ready". "Ya Dr, kami baru turun ke kereta, Dr boleh datang sekarang".
“Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarikala kala baik, Innal hamda wanni’mata laka walmulka laa syarika laka - Ya Allah, aku datang menghadapmu Ya Allah, memenuhi seruan-Mu. Aku datang menghadap-Mu tanpa ada sedikitpun syirik kepada-Mu. Sesungguhnya segala pujian, segala kenikmatan, segala kekuasaan, semuanya itu adalah milik-Mu, tiada sedikitpun syirik kepada-Mu “.
Masya Allah, pukul 11.40 pagi kami telah sedia untuk berangkat ke Mekah. Memang tidak dirancang, tiba-tiba saya dapat jemputan untuk ke rumah Allah sekali lagi. Hasan dan Farah juga tidak merancang awal untuk pergi ke Mekah. Kebetulan hari itu kampus lelaki black-out, dia terasa hendak ke Mekah. Alhamdulillah, Allah mengingatkan dia untuk mengajak saya bersama. Begitulah, ketentuan Allah memang tidak terjangka oleh manusia.
Pukul 1.30 petang kami sampai di Masjid Aishah, Tanaim. Hasan tinggalkan kereta di tempat parkir masjid. Parking percuma dan tidak perlu meredah kesesakan jalan raya di kawasan Masjidil Haram.
Selepas solat zohor kami naik bas merah ke Masjidil Haram. Bas berjujukan, sedia menunggu jemaah. Tambang cuma 2 riyal sehala. Lima belas minit perjalanan, bas berhenti di Jalan Ummul Qura berhadapan dengan Hotel Dar al Tawhid. Memang mudah.
Ini pengalaman pertama saya mengerjakan umrah dengan Farah dan Hasan bersama tiga anak lelaki mereka Abeer lima tahun, Aqeel empat tahun dan Ali sembilan bulan. Sekali lihat rasa macam sukar hendak selesaikan tawaf dan saie bersama anak-anak kecil. Rupa-rupanya Allah permudahkan semuanya.
Hasan mendukung anak kecilnya dan menggalas dua buah beg bekalan anak-anak. Farah memimpin Aqeel dan saya memegang tangan Abeer. Dataran tawaf seperti biasa penuh sesak dengan jemaah. Namun, percayalah, seramai mana pun manusia bertawaf, ruang untuk kita bertawaf sedia menunggu. Begitulah Allah meraikan hambaNya yang datang ikhlas untuk berjumpaNya.
Memang Allah permudahkan. Saya bertawaf selesa tanpa ditolak. Begitu juga saya lihat Farah dan Hasan. Anak-anak mereka berjalan senyap tanpa sebarang rengekan. Masya Allah. Jemaah lain kagum melihat anak-anak kecil bertawaf dan mengambil kesempatan mengusap kepala mereka. Ali terlentok tidur di dukungan Hasan.
Saya teringat pengalaman mengerjakan umrah bersama lima orang anak kami pada tahun 2001. Juga tiada masalah. Anak-anak tawaf dan saie berulang kali tanpa merungut letih. Masjidil Haram pada masa itu tidak sibuk dengan pembinaan. Lapang, selesa dan tidak sesak. Semuanya berkesempatan mengucup hajarul aswad dan mandi di telaga zam-zam. Ya, kenangan manis bersama anak-anak dan suami di Masjidil Haram mengimbau kembali.
Tawaf sekali ini membawa saya bertanya kepada diri sendiri sudahkan saya pusatkan seluruh aktiviti kehidupan dalam tujuh hari seminggu sebagai ibadah kepada Allah, sebagaimana tawaf yang dilakukan sebanyak tujuh kali ini. Sudahkah saya dapat mendekatkan diri, berzikir kepadaNya dengan penuh kecintaan dan mengharapkan keridhaan-Nya?
Azan Asar berkumandang sebaik sahaja kami selesai tawaf, solat sunat di belakang makam Nabi Ibrahim dan berdoa di Multazam. Kesibukan pembinaan menyebabkan banyak laluan ke bukit Safa ditutup. Kami tersasar ke laluan bawah tempat laluan jenazah dan terpaksa bersolat Asar di situ.
Selesai solat Asar dan solat jenazah, kelihatan tujuh jenazah diusung keluar. Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Untungnya mereka yang meninggal di Masjidil Haram. Disembahyang dan didoakan oleh sekian ramai jemaah. "Ya Allah ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka, selamatkan mereka dan maafkanlah mereka".
Bersaie pada hari itu juga dapat dibuat dengan tenang. Segala doa dipanjatkan kepada Allah untuk diri sendiri, ibu-bapa, suami, anak-anak, adik beradik, semua keluarga dan rakan. Doa khas untuk diri sendiri, supaya tabah dan tetapkan hati agar terus berfikiran positif mengumpul peluang dan kebaikan sepanjang di hidup di bumi anbiyak.
Saya ingatkan diri saya bahawa sebagaimana saya perlu kekuatan untuk menakluki bukit Safa dan Marwa, begitulah kekuatan yang perlu saya curahkan sepanjang hayat bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Hidup ini bukan untuk bersenang lenang. Hidup ini perlu mujahadah melawan rengekan nafsu dan syaitan yang mahu kita just give up the good things that we are doing.
Selesai tahallul, kami terus beredar keluar melalui pintu King Abdullah yang baru dibuka. Keadaan di luar masjid redup menanti senja berlabuh. Kami terus naik bas merah yang sedia menanti untuk ke Masjid Aishah.
Selesai solat maghrib, kami pun berangkat pulang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, pukul 11.30 malam kami selamat sampai di rumah.
"Rabbana Athina fiddunya hasanah wafil akhirati hasanah waqina ‘adzaabannar - Ya Tuhan kami berikanlah kebahagian dunia dan kebahagian akhirat kepada kami, sehingga kami terhindar daripada siksa neraka “.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home