Tuesday, 8 November 2016

Memori Saudi - Semua Insan Akan Diuji

"Malam ini abang ada dinner dengan tiga orang jejaka malang. Kesian, semua wife masuk wad", bunyi mesej WA daripada suami saya disertai gambar kawan-kawannya bersama hidangan sup belut istimewa. Mungkin suami saya juga kategorikan dirinya sebagai jejaka malang kerana ketiadaan isteri untuk berdampingan.
     Ujian yang diberi oleh Allah kepada setiap manusia datang dalam pelbagai bentuk. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.
     “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…  ( Al-Baqarah: 286).
     Hakikatnya, saat itu kawan-kawan saya diuji dengan penyakit kanser. Keluar masuk hospital menjalani rawatan kemoterapi, pembedahan dan sebagainya. Suami-suami mereka diuji dengan kesabaran menghadapi karenah isteri yang sukar diduga kerana tekanan psikologi.
     Mengenangkan keadaan mereka, saya amat bersyukur. Saya dibawa ke Rabigh, hampir 8000 Km jarak penerbangan daripada keluarga. Jauh... namun begitu saya hampir dengan rumah Allah.
     Alhamdulillah hampir setiap minggu saya berpeluang ke Mekah atau Madinah. Tidak perlulah saya menyesali perpisahan ini kerana hadiah yang Allah berikan kepada saya amat besar nilainya.
     "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)” ( Al-Baqarah: 214).
     Sebagai manusia biasa, kita tidak mampu menjangka apa yang dijanjikan Allah untuk kita. Bagaimana bentuk ujian dan bila ujian itu akan tiba, tidak terjangkau oleh fikiran kita. Persolannya, saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?
     Ujian yang menjengah dalam kehidupan kita akan mengejutkan kita dari terus bersenang lenang dengan harta benda dan anak-anak. Masa sakit dan berjauhan, semuanya diuji.
    Allah Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian.
     Hadiah itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di dalam Quran: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Al-Ankabut: 2).
     Justeru, marilah kita bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin bermain di fikiran saat kita diuji. Inilah saatnya bagi kita merubah fikiran dengan memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘hadiah’ daripada Allah dan bukan lagi satu bebanan.
     Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi. Jika saat ini anda sedang diuji, bersyukur dan berbahagialah kerana anda insan terpilih.

p/s Artikel ini ditujukan khas untuk jejaka malang dan isteri-isteri mereka.
Pada tarikh artikel ini diterbitkan, kedua-dua sahabat saya itu telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah ampunkan mereka, rahmati mereka, maafkan mereka dan kasihankan mereka. Semoga keduanya termasuk dalam kalangan hamba-hambaNya yang solehah

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home