Thursday, 13 October 2016

Memori Saudi - Syukur Udin Sudah Kahwin

"Alhamdulillah, sudah solat maghrib, baca Yassin dan solat Isyak anak beranak. Kami buat macam biasa walaupun umi tidak ada bersama. Kami doa untuk umi dan Alya yang jauh di mata tapi dekat di hati. Insya Allah semoga Tuhan lindungi kita semua".
     Gembira rasanya membaca mesej daripada suami yang dihantar nya setiap hari. Syukur, amalan rutin keluarga berjalan tanpa saya.
     "Menantu pun ada di rumah. Esok anak beranak dari Perak, Penang, Kedah dan Shah Alam akan sampai... lagi meriah.. Check list sudah ready.. makanan ok, toto ok.. bilik tidur sudah diatur.. ok semua".
     Alhamdulillah nampaknya semua berjalan lancar diuruskan suami dan anak-anak walaupun saya tiada di rumah.
     Malam 13 Mac 2015, ibu-bapa, semua adik-beradik saya dan keluarga masing-masing berhimpun di rumah saya di Kota Bharu. Masing-masing datang jauh dari Parit Buntar, Sungai Petani, Penang, Perlis dan Shah Alam.
     Saya di Rabigh bersendirian, peluang untuk terus bercerita.
     Pada 14 Mac 2015, adik lelaki bongsu saya yang berusia 32 tahun menamatkan zaman bujang terlajaknya. Perkahwinan yang diatur keluarga. Bukan berpacaran, bukan cari sendiri macam anak muda zaman sekarang. Emak dan ayah saya paling gembira. Tersenyum lebar bila cerita tentang jodoh Udin telah sampai.
     Alhamdulillah, sebelum ke Rabigh saya dan suami sempat uruskan pertemuan mereka. Tidak sampai tiga bulan berkenalan, kedua-dua pihak dan keluarga bersetuju mereka bernikah terus tanpa perlu bertunang. Insya Allah boleh kenal yang sebenarnya selepas kahwin. Jodoh, pertemuan, sakit, mati bukan hak kita. Allah yang punya kuasa.
     Udin hendak bernikah, semua adik-beradik memberi sumbangan dalam berbagai bentuk. Masing-masing bersetuju mengambil bahagian untuk menjayakan majlis walimah beliau. Ibu bapa yang sudah agak uzur hanya mampu tersenyum menanti ketibaan menantu bongsu.
     Alhamdulillah, Udin yang telah banyak menerima ujian Allah telah bertemu jodohnya. Saya dapat merasakan bahawa ujian-ujian Allah terhadap Udin sebenarnya juga ujian untuk saya, adik-beradik yang lain dan ibu-bapa kami. Allah mahu menguji sekuat mana ukhuwah kami, sejauh mana pengorbanan dan kasih sayang ibu-bapa kami.
     Syukur, setakat ini saya tidak pernah serik, kecewa atau bosan membantu ibu-bapa dan adik-adik. Hari itu saya tidak dapat bersama menyaksikan Udin mengucapkan lafaz nikahnya, namun doa saya sentiasa bersamanya. Semoga Allah memberkati perkahwinan adik saya Udin dan semoga bahagia bersama pasangannya di dunia akhirat.

     Semoga ukhuwah kami adik-beradik semakin kukuh dan semoga ibu bapa saya terus tersenyum gembira meniti hari tua.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home