Friday, 5 August 2016

Memori Saudi - Makanan Arab

"Petang ni nak balik Kota Bharu dah. Abang nak pi beli roti arab". Sebulan di Rabigh, hampir setiap pagi suami akan bersarapan dengan roti arab yang dicicah kuah kacang kuda. "I love roti arab!", begitulah bunyinya sebaik saja selesai sarapan.  Di Malaysia, orang panggil roti tempayan sebab selepas dicanai nipis, roti tu di dibakar dengan cara tampal dalam tempayan.
     "Roti apa macam ni, keras macam biskut saja. Tak ada ka gulai apa-apa nak cicah roti ni", rungut Ameen, anak bongsu saya yang turut sama ke Rabigh.
     "Gulai tak ada, yang ada hanya pool". Pool, kuah kacang kuda yang dicampur rempah. Kalau nak pedas, minta penjual sudukan paste lada hijau India yang memang pedas berdesing sampai ke telinga. Lepas habis sebiji roti Arab, perut kenyang sampai ke petang. Kembang dalam perut. Senyap-senyap dalam rumah macam-macam bau ada. Bahana angin kacang kuda!
     Saya memang tidak bawa banyak bahan memasak. "Tak payah bawa la bahan-bahan memasak. Duduk di Saudi, kita makan saja cara sana", larang suami bila saya senaraikan bahan memasak yang hendak dibawa. Saya berkeras, bawa juga sedikit rempah-rempah kari adabi, kiub tom yam dan asam jawa. Selepas sebulan tidak banyak yang digunakan lagi kerana asyik mencuba makanan Arab.
     Tinggal di Rabigh makan tak susah macam duduk di Amerika atau Australia. Saya jadi macam malas nak masak sebab Mat'am(restoran) banyak dekat rumah kami. Alhamdulillah suami dan anak-anak tidak cerewet makan. Masing-masing tidak terikat dengan selera Kelantan. Semuanya minat hendak cuba makanan baru.
     Nasi putih, nasi kuning semua ada. Ayam goleknya lembut dan juicy. Ayam muda, kecil saja. Seorang boleh ratah seekor ayam. Sedap! Ingatkan Arab makan roti dengan kurma saja. Rupanya nasi juga makanan harian mereka. Ya, Kabsah atau nasi Mandy dengan ayam atau kambing bersama ulam daun gerber, bawang besar mentah dan sambal lada merah.
     Saya sekeluarga pernah dibawa oleh rakan Arab ke restoran semasa dalam perjalanan dari Jeddah ke Rabigh. Katanya restoran exclusive. Sampai di restoran saya hairan juga tiada meja makan, yang ada hanya bilik-bilik kecil berkarpet tanpa meja kerusi.
     Selepas membuat tempahan, kami disuruh masuk ke sebuah bilik kosong. Rakan saya dan suaminya masuk ke sebuah bilik yang lain. Oleh kerana kami tiba hampir dengan waktu asar, lama juga kami menunggu makanan. Sambil menunggu, sempat kami berbaring dan bergolek menghilangkan letih.
     Setengah jam selepas Asar, pintu diketuk. Bergegas bangun, kami lihat setalam nasi arab dengan ayam golek serta set sayuran mentah dihulur masuk. Bersama hidangan ada tin air Pepsi dan saprah plastik pakai buang. Kami bertiga beranak tersenyum melihat makanan yang banyak. "Boleh habis kah nasi sebanyak ni?", sindir Ameen.
     Sayangkan makanan, takut terbazir, saya kaup separuh masuk ke dalam plastik untuk dibawa pulang. Habis makan, saya intai ke bilik rakan yang makan berdua orang sahaja, habis setalam nasi dimakan oleh mereka berdua sahaja! Biar betul... siapa kata Arab tidak makan nasi?
     Restoran makanan orang putih pun banyak. Ada Piza Domino, Mc Donald dan Baskin Robin. Yang tak adanya, nasi berlauk, nasi kerabu, tom yam atau sup belut. Kalau teringin makanan Malaysia kena lah usaha masak sendiri dengan apa-apa bahan yang ada. Hendakkan kelainan, kami merayau cari restoran Turki. Kabab, shawarma, barbecue grills semuanya ada.
     Pasal makan kami memang tidak pernah berkira. Teringin hendak makan, beli. Siap duit saja. Makan, tapi jangan membazir.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home