Tuesday, 11 October 2016

Memori Saudi - Gaya Hidup

Wajah kawan-kawan dan pelajar-pelajar di kampus KAU semuanya cantik. Orang kata muka masin. Maklumlah arab. Kalau tengok mata yang hanya kelihatan di celah-celah niqab, memang galak tajam menikam kalbu.
     Namun di sebalik abaya kembang, saya dapati ramai yang berpunggung besar dan berperut gelambir. Betul lah agaknya, standard arab mengukur kecantikan wanita berdasarkan lipatan perut!
     Selama di Rabigh saya juga rasa macam sudah jadi mak arab. Keluar rumah memang sentiasa berabaya dan berniqab. Kulit muka dan badan rasa seperti lebih cerah. Maklumlah sentiasa tertutup tidak kena cahaya UV.
     Tambahan pula tiap-tiap pagi saya sarapan dengan secawan jus lemon dicampur satu sudu madu, setengah sudu habbatus saudah dan satu sudu minyak zaitun. Tujuh biji buah zaitun jeruk yang bewarna hitam, dua belas biji kismis hitam, tiga biji kurma, sebiji buah delima dan sebiji buah tin menjadi amalan di waktu pagi.
     Nasi hanya makan sekali sehari. Itupun nasi arab yang dibeli, separuh ayam separuh nasi. Set nasi yang dibeli dengan harga sebelas riyal boleh dimakan untuk dua hari. Malam hanya makan buah-buahan dan garamesh iaitu biskut gandum penuh yang disapu cream cheese. Dapur saya jarang-jarang sekali berasap. What a life!
     Namun demikian, saya terasa macam perut sudah nampak menonjol sedikit. Macam perut mak arab! Agaknya kurang bersenam.
     Semasa suami ada bersama, saya berjalan beriringan dengan suami macam kami amalkan di Malaysia. Hendak berjalan pagi-pagi seorang diri terasa takut juga, sebab jalan agak lengang.
     Terasa badan lemah tidak berpeluh, saya bertekat untuk tidak lepak sahaja di rumah. Biasanya selepas asar, saya pakai seluar track, t-shirt, dan kasut sukan ditambah abaya dan niqab, saya keluar berjalan seorang diri.
     Di sepanjang jalan raya Rabigh ada laluan pejalan kaki yang agak luas, sesuai untuk berjalan pantas. Waktu petang jalan agak sibuk, jadi saya tidak berasa takut untuk berjalan seorang.
     Kadang-kadang terasa juga Pak Pakistan atau Bangladesh yang berjalan pulang dari kerja menoleh hairan melihat wanita berabaya dan berniqab berjalan memakai kasut sukan meredah panas mentari petang.
     Dua puluh minit berjalan dari rumah, saya sampai di Hadiqah al-syifak (Taman Sihat). Di taman biasanya ramai wanita duduk berbual sambil melihat anak-anak bermain buaian dan gelongsor. Saya terus berjalan berpusing-pusing di sekeliling taman seorang diri. Lega rasanya bila badan berpeluh.
     Ada masanya selepas penat berjalan saya berehat di kerusi taman sambil beramah mesra dengan wanita-wanita arab yang berbual santai. Mereka memberi salam dan menegur mesra dalam bahasa Arab. Saya pun menjawab dalam bahasa Arab putus-putus sambil membuka Apps Translator mencari perkataan yang sesuai.
     Saya berazam supaya boleh bercakap Arab dengan lebih baik sebelum tamat kontrak kerja di KAU. Kalau pembantu rumah Filipina atau pekerja kontrak  Bangladesh boleh bercakap Arab, kenapa tidak saya? Hendak seribu daya!
    Pukul 5.30 petang saya berjalan kembali ke rumah. Sampai di rumah terus mandi dan bersiap untuk pergi mengaji Quran di Pusat Dakwah yang terletak berhampiran dengan rumah saya.
    Sebelum ini saya merasakan yang bacaan Quran saya sudah baik. Anak-anak semuanya tamat Quran saya ajar sendiri. Namun bila belajar lagi dengan guru yang berlidah arab, banyak lagi sebutan huruf saya yang perlu dibetulkan.
     Memang betul, lagi banyak kita belajar, terasa banyak lagi yang kita tidak tahu. Insya Allah saya akan terus belajar hingga ke liang lahad, life long learning. Semoga apa yang saya lakukan selama ini diterima sebagai ibadah oleh Allah.
     Pesan Imam Bukhari (RA), bila kedua-dua ini bertemu, maka berjayalah apa jua yang dipelajari:
1. keinginan yang kuat untuk belajar/mengajar
2. diulang-ulang apa yang dipelajari/dan diajar

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".” (Al-Baqarah: 286)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home