Saturday, 29 October 2016

Memori Saudi - Majlis Perkahwinan Wanita Saudi

"Dr. Sharifah, Dr. Nora come to my sister's wedding party on Thursday, 19 March".
     Hati saya terlompat gembira apabila Safia rakan sepejabat menjemput kami ke parti perkahwinan adik perempuannya. Saya memang tertunggu-tunggu kesempatan untuk menyaksikan majlis perkahwinan wanita arab.
     Terkejut saya apabila Safia memberitahu majlis akan bermula pada pukul 12 malam dan tamat pukul 4 pagi. Saya dan Nora bersetuju hendak pergi tetapi malam-malam hari susah jugak. Kereta Nora ada, tetapi tiada pemandu kerana suami dan anak lelaki Nora balik ke Malaysia. Abdul Rahman bercuti, Ghafur pulak ada temujanji lain.
     Selepas berbincang dengan Nora, kami meminta Safia menjemput Dr. Farah rakan dari Indonesia. Kalau Farah pergi, kami boleh tumpang kereta nya sekali. Alhamdulillah Dr. Hasan suami Farah setuju menghantar kami pada pukul 12.30 malam.
     Petang itu saya tidak pergi berjalan. Rehat di rumah dan tidur awal. Pukul 11.30 malam saya bangun, mandi dan bersiap memakai baju kurung yang cantik sikit!
     Menurut Nora, mak Arab melaram habis kalau pergi parti perkahwinan. “Tidak apa lah, kita orang Malaysia pakai saja baju kurung. Ini lah masa hendak tunjukkan pakaian tradisi kita. Cantik juga”, kata saya pada Nora.
     Majlis perkahwinan adik Safia dibuat di dewan. Kami sampai pada pukul 1 pagi. Di luar dewan suasana agak sunyi dan tidak banyak kereta di tempat parking. Wanita semuanya dihantar oleh pemandu atau mahram. Semuanya keluar dari kereta berutup lingkup dengan abaya dan niqab hitam.
     Sebaik sahaja sampai di ruang legar dewan, saya mula terdengar bunyi muzik. Setiap wanita yang masuk menanggalkan abaya dan niqab lalu dimasukkan ke dalam beg plastik yang disediakan. Masing-masing membetulkan solekan dan rambut di hadapan cermin besar yang memenuhi dinding masuk.
     Rupanya di sebalik abaya hitam meleret, mereka memakai gaun berwarna, bermanik, berlabuci dan seksi. Barang kemas besar-besar, berkilau dengan gaya rambut berset tinggi dan bersimpul-simpul. Kebanyakannya bersolek penuh dengan kening bertanduk, alis mata bewarna dan bibir merah bak delima merkah. Cantik-cantik semuanya. Mashaallah, tabarakallah
     Safia yang cantik bergaya menyambut ketibaan kami dengan salaman dan ciuman empat kali. Sekali di pipi kanan dan tiga kali di pipi kiri sambil mulut berbunyi cup,cup,cup.. macam ciuman pada bayi. Kami dibawa ke meja yang telah dikhaskan bersama rakan pejabat yang lain.
     Dewan besar itu dihiasi indah dengan bunga dan belon bewarna-warni. Tetamu duduk di meja bulat enam kerusi. Di atas setiap meja terdapat dua termos, satu berisi kopi arab (gahwah) dan satu lagi teh (shai).
     Pelayan berjalan sekeliling dewan menuang kopi dan teh ke dalam cawan kecil tidak bertangkai. Terdapat juga coklat berbungkus cantik dan kueh-kueh manis di atas meja. Tetamu berbual sambil minum dan mengigit coklat atau kueh manis.
     Di hadapan dewan terdapat pentas rendah dua anak tangga. Di atas pentas ada dudukan panjang berhias cantik seperti pelamin.
     Di sebelah tepi pentas kelihatan Tagaga (penyanyi wanita) dan tiga orang pemain gendang kecil dan dua orang pemain tambourine duduk di atas kerusi. Muzik bergema memenuhi ruang dewan. Para jemputan menggerakkan-ngerakkan badan dan ada yang naik ke pentas menari mengiringi muzik yang mengasyikkan.
     Dewan kelihatan terbahagi dua kerana di tengah-tengah nya terdapat pentas catwalk berkarpet merah yang laluannya bermula dari tangga aras mezanine hingga ke pentas besar di hadapan.
     Dua jam kami duduk berbual, minum dan makan coklat. Sepanjang masa tersebut Tagaga dan pemuziknya mengalunkan lagu silih berganti. Setiap lagu bermula, tetamu yang terdiri daripada kanak-kanak, muda, tua, kurus dan gemuk silih berganti naik ke pentas menari berpasangan. Bukan tarian gelek separuh bogel, tetapi tarian lembut yang sopan dengan langkah kaki yang tersusun dan sedikit gerakan badan dan tangan.
     Selain daripada wanita yang berambut set tanpa tudung, terdapat juga wanita berselendang. Rupa-rupanya wanita berselendang itu adalah mereka yang sedang mencari calon menantu untuk anak lelaki. Anak dara yang menari bersama ibu, menunjukkan mereka itu bersedia untuk bersuami. Ya, bukan sekadar menari biasa, ada makna lain yang tersirat.
     Pada pukul tiga pagi, kami dijemput ke dewan bersebelahan. Saya lihat di atas meja bufet ada berbagai jenis salad. Di lantai dewan yang berkarpet itu kelihatan nasi kabsa kambing di dalam dulang besar di letakkan di atas  saprah plastik yang disusun berbaris memanjang.
     Tetamu duduk bersimpuh atau bersila di setiap dulang. Kami bertiga yang memang sudah lapar, makan sedulang hingga hampir habis. Makan malam sekali dengan sarapan pagi! Maklumlah sudah pukul tiga pagi. Banyak juga talam yang hanya disentuh sedikit-sedikit. Sayang juga melihatkan makanan terbazir begitu sahaja.
     Sebaik sahaja habis makan, lampu di dewan utama dimatikan. Hanya kelihatan lilin dan lampu kelip-kelap di laluan catwalk. Tiada bunyi muzik dan nyanyian. Hanya kedengaran bunyi lolongan lidah tetamu yang duduk dikerusi. Rupanya itulah masanya pengantin perempuan turun.
     Kelihatan pengantin perempuan yang bergown putih seksi meleret dan bergembak-gembak turun melalui tangga dari aras mezanin. Susah juga pengantin hendak sampai ke depan dewan kerana hujung baju nya tersangkut-sangkut di tangga dan di sepanjang laluan catwalk. Jurugambar wanita sibuk mengambil gambar pengantin. Ada juga kanak-kanak perempuan yang mengambil gambar dengan telefon tangan.
     Saya yang teruja melihat pengantin cantik mengeluarkan telefon dan mengambil beberapa keping gambar. Dalam keasyikan saya mengambil gambar, Safia menghampiri saya. "Dr. Sharifah why you take photo? No photo, problem, problem to my sister. Please delete all the photos".
     Safia mengambil telefon saya dan padam semua gambar yang saya ambil di dalam dewan pada malam itu. Saya memohon maaf pada beliau. Selepas itu, emak dan nenek Safia datang bersalam dan memeluk saya. Malu saya kerana bertindak begitu seolah-oalah tidak menghormati majlis mereka.
     Sebaik saja pengantin duduk di pelamin, lagu dialunkan. Keluarga Safia naik ke pentas bersalam dan menari lagi. Kami juga naik ke pentas bersalam dan mengucapkan mabrook (tahniah) kepada pengantin. Sebelum turun, saya sempat menari beberapa langkah bersama Safia.
     Pengantin lelaki tidak ada bersama di dalam dewan itu. Menurut Safia, pengantin lelaki meraikan tetamu lelaki di tempat lain dan akan tiba ke dewan majlis pihak perempuan apabila semua tetamu pulang.
     Pukul 4 pagi, tetamu siap berabaya dan bertudung hitam likup mula keluar dewan menunggu kereta untuk pulang. Saya gembira dapat menghadiri majlis perkahwinan Arab yang memang jauh berbeza dengan majlis perkahwinan di Malaysia. Pengalaman begitu memberi pengisian kepada saya untuk mengurangkan kesunyian berjauhan dari keluarga.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home