Monday, 28 November 2016

Memori Saudi - Majlis Graduasi

Sebelum pulang untuk cuti musim panas, saya berpeluang menghadiri majlis graduasi pelajar wanita Kampus KAU Cawangan Rabigh.
     Pendaftaran majlis bermula pada pukul 12 tengahari. Abaya dan niqaaf tidak kelihatan di dalam dewan. Seperti majlis keramaian yang lain, staf dan pelajar berpakaian anggun dengan solekan yang cantik. Graduan memakai jubah dan topi segi empat graduasi. Staf akademik juga memakai jubah graduasi.
     Apabila masuk waktu Zohor, karpet besar dibentang di dewan menunggu. Hadirin solat beramai-ramai. Selesai solat, staf akademik berbaris naik ke pentas dan kemudiannya turun duduk di tempat yang telah dikhaskan  mengikut fakulti pengajian. Hadirin tidak dibenarkan membawa masuk beg tangan dan telefon ke dalam dewan.
     Dewan dihiasi indah dengan bunga dan belon bewarna warni. Lampu bewarna warni ala disko menari-nari mengikut alunan lagu membangkitkan suasana meriah di dalam dewan.
     Sebaik sahaja semua staf akademik mengambil tempat masing-masing, graduan pun berbaris naik ke pentas mengikut fakulti untuk mengambil sijil. Selepas itu ketua-ketua jabatan memberikan ucapan ringkas dan diikuti oleh alunan lagu rasmi universiti dan lagu Aash Al Maleek iaitu lagu kebangsaan negara Arab Saudi. Sambil melenggok-lenggokkan badan mengikut irama lagu semua hadirin mengibar-ngibarkan bendera hijau Arab Saudi.
     Majlis semakin meriah apabila ketua-ketua jabatan tampil ke depan menari beramai-ramai mengikut irama lagu yang bergema memenuhi ruang dewan. Hadirin yang lain membuat bunyi sorakan dengan lolongan lidah dan bertepuk tangan mengikut irama.
     Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari. Menu yang dihidangkan adalah nasi kabsah, roti, makaroni cheese, salad dan berbagai kueh manis.
     Selepas makan, tetamu menyarukkan abaya dan niqab lalu keluar menuju ke kereta yang sedang ditunggu oleh pemandu.
     Sepanjang majlis berlalu, saya begitu teruja kerana telah bersedia untuk pulang cuti musim panas. Petang itu saya mengheret beg besar naik bas universiti bersama Dr. Rafat, pensyarah dari India. Saya menumpang tidur dua malam di rumah beliau sebelum terbang balik ke Malaysia pada 6 Jun 2015.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home