Thursday, 17 October 2019

Membina Pohon Taqwa - 1/8 Mengkaji al-Quran


21 Ayat Motivasi Taqwa dikongsi oleh Tuan Fazrul Ismail dalam Siri E-Kursus Taqwa

Taqwa 03 

Tajuk: Bagaimana membina pohon taqwa

Alhamdulillah.

Pada hari ini kita akan mula mengkaji melihat kepada apakah bahan atau pun apakah input yang perlu kita laksanakan untuk kita membina, membentuk sikap taqwa di dalam diri kita. Kita mungkin kata bahawa kita perlu melakukan kebaikan, menjauhkan keburukan. Tetapi rupa-rupanya dalam al-Quran Allah sudahpun memberitahu kepada kita ada 8 paling kurang perkara yang kita perlu buat agar kita ini bertaqwa.

Perkara pertama yang akan dikongsikan pada hari ini ialah MENGKAJI AL-QURAN. Ini daripada perkataan Quran yang tertera 70 kali didalam al-Quran ini sendiri. Bermaksud membaca, dan ia sebenarnya berkaitan dengan mengumpulkan sesuatu agar menjadi sesuatu yang bermakna. Itu sebabnya dalam surah al-Qiyamah 75:18 Allah menyatakan:

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ - 75:18
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

Ini yang telah diajarkan oleh Jibril daripada Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Bila kita cakap tentang Quran ini, kita bercakap tentang kesempurnaan. Kita baca dengan kesempurnaan. Lebih daripada itu apabila kita melihat di dalam surah Taha 20:113:

وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ الْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا - 20:113
Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.

Inilah satu daripada 8 perkara yang perlu kita buat untuk kita mencapai taqwa di dalam kehidupan kita. Al-Quran ini yang lafaznya diturunkan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW, dinukilkan secara mutawattir dan membacanya adalah ibadah. Walaupun kita tak faham, ia menjadi ibadah, apatah lagi apabila kita cuba memahaminya, mengkajinya dan mendalami apakah isinya, sudah tentu itu akan memberi kesan yang besar yang Allah nyatakan dalam surah Taha 113 tadi. Kami turunkan al-Quran dalam bahasa Arab dan kami telah menerangkan dengan berulang kali ancaman agar mereka bertaqwa. 

Bila kita tahu taqwa itu bercakap tentang khosyah, khauf dalam siri 02, maka al-Maghari seorang ulamak menjelaskan bahawa penurunan ayat tentang janji dan ancaman dalam Quran ini ditujukan agar mudah difahami oleh orang-orang Arab dan juga ia adalah mengandungi unsur kebahahagian dunia dan akhirat. Ini sudah tentunya memberi kesan kepada orang yang bertaqwa. 

Dalam ayat lain al-Zumar 39:27-28:

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ - 39:27
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran.

قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ - 39:28
laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

Quran ini tidak ada bengkok yang meluruskan cara kita berfikir, cara kita berperasaan dan ia menjadikan kita bertqwa, iaitu khosyah, kita takut kepada Allah, kita sentiasa menjaga amalan kita. Jadi kalau kita tengok kepada ayat ini, kita akan nampak bahawa sebenarnya mengkaji al-Quran ini amat penting. Makin kita belajar membaca dan mengkaji al-Quran ini ia akan menyebabkan umat Islam memberi fokus fikiran, tenaga dan waktu untuk mengkaji perkara ini kalau kita tengok pada masa lepas kerana ia akan membina taqwa dan taqwa memberi kesan besar dalam kehidupan kita. Ada 21 buah daripada taqwa ini. Menurut Tabari, bahawa mempelajari dan memahami isi kandungan dalam bahasa Arab akan membentuk manusia yang bertaqwa dan taat ibadah kepada Allah dan sentiasa mengesakan ketuhanan Allah SWT.

Jadi kalau kita tidak mengkaji al-Quran ini, ia menyebabkan kita mudah terbengkok perasaan kita. Mungkin kita mudah marah, kita rasa kecewa. Kalau orang kutuk kita kita rasa itulah segala-galanya dan kita nak lawan selawannya padahal sebenarnya Nabi itu diajarkan berakhlak mulia, tidak dengki. Semua akhlak ini ada di dalam al-Quran. Nabi itu adalah Quran berjalan. 

Seorang lagi ulamak al-Zuhaili menyatakan, anjuran yang terkandung dalam ayat Zumar 27-28 adalah agar manusia menjauhi kekufuran dan maksiat serta diharapkan mampu membawa kepada ketaqwaan. Maksudnya, Quran ini mempunyai power yang tersendiri. Kadang-kadang kita rasakan kita tak ada kekuatan untuk mengelakkan daripda melakukan sesuatu kesilapan, habit-habit atau amalan yang buruk, cara bercakap, cara berperasaan, tetapi al-Quran ini dia akan memberi kekuatan itu. Sehinggakan Nabi SAW menyatakan "khairukum man taalamal quraan waallama", sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Quran dan mengajarkannya. Daripada hadis ini memberi penegasan bahawa manusia terbaik ialah manusia yang mempelajari al-Quran kemudian mengajarkannya kepada orang lain. 

Menurut al-Asqalani dalam bahagian mempelajari Quran ini, menyatakan bahawa orang yang mempelajari Quran meskipun tidak mengajarkannya kepada orang lain lebih baik daripada orang yang mengamalkannya tapi tidak mempelajarinya. Inilah yang kita lihat dalam hidup kita sekarang. Kalau saya dahulu mungkin hidup 20 atau 30 tahun tapi tidak melihat apa yang ada di dalam al-Quran dan ia tidak membina sifat taqwa mungkin baik kalau environment itu baik tapi Quran ini dia akan membina secara terpandu, terarah kerana ia ada modul yang dibekalkan oleh Allah yang mengetahui tentang diri kita sendiri. 

Jadi apakah yang perlu kita buat daripada beberapa ayat yang saya kongsikan sebentar tadi, iaitu kita perlu mengkaji al-Quran. Kita doa kepada Allah swt agar kita sentiasa rapat dengan al-Quran, kita baca, faham al-Quran ini. Makin kita mengkaji Al-Quran, don't worry, Insya Allah kita akan menjadi orang al-Muttaqun, orang yang amat stabil taqwanya sehingga Allah memberikan kita macam-macam, 21 buah taqwa yang kita boleh lihat dihujung program ini, Insya Allah.

Semoga kita semua menjadi orang bertaqwa.

Jom dengar


http://akademisinergi.com/files/audio/Day03KajiQuran.mp3



Grafik sumbangan Fatihah Asilah di Group Ketua E-Kursus Taqwa

#JomBertaqwa
#Taqwa
#TadabburTazakkur
#FazrulIsmail
#FormulaTaqwa

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home