Memori Saudi - Kenangan di Madinah
Cuti pertengahan semester kedua pada 20 hingga 28 Mac 2015 memberi kesempatan kepada saya untuk ke Madinah sekali lagi. Perjalanan sekali ini unik bagi saya kerana ini merupakan kali pertama saya pergi ke Madinah dengan kereta dan tanpa keluarga.
Harun suami Nora memandu kereta Toyota Corolla mereka. Saya hanya menyempil di belakang bersama tiga orang anak mereka. Kami pergi bergerombolan dua buah kereta bersama Dr. Hasan, isterinya Dr. Farah, ibu Murni emak Dr. Farah dan tiga orang anak lelaki mereka yang masih kecil.
Sebelum masuk ke Madinah kami berhenti sekejap di Masjid Quba' untuk solat sunat. Perjalanan tanpa henti dari Rabigh ke situ mengambil masa tiga jam. Masjid Quba' yang terletak 5 Km dari Madinah ialah masjid pertama dibangunkan dalam sejarah Islam. Ia dibina oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya pada 8 Rabiul Awal 1 Hijriah.
Setiap umat Islam yang menziarahi Madinah pasti mencari kesempatan mengerjakan solat di masjid Quba' kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa berwuduk di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba', lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah”( HR. Tirmizi no. 298. Ibnu Majah no. 1401).
Selepas solat sunat di Masjid Quba' kami terus menuju ke Masjid Nabawi. Oleh kerana kami menempah Hotel Elaf Taiba yang terletak di penjuru Masjid Nabawi, kami parkir kereta di parkir bawah Masjid Nabawi. MasyaAllah, tempat parkir sungguh luas dan mudah. Kos parkir SAR1 jam.
Dari parkir kami naik terus ke dataran Masjid Nabawi melalui escalator. Oleh kerana kami sampai lebih kurang pukul 11.30 pagi, kami pun terus masuk ke masjid menunggu solat Zohor. Alhamdulillah, masa sejam menunggu saya penuhi dengan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya, solat sunat dan membaca quran.
Selesai sahaja solat Zohor, Dr. Hasan mengajak kami makan tengahari di Rumah Makan Indonesia yang terletak di tingkat 2 Elyasa Center 2. Di restoran ini ada bakso, soto, bubur, dan berbagai masakan Indonesia. Saya makan nasi putih dengan ikan patin goreng sweet sour dan terung goreng berlada.
Selepas makan kami terus daftar masuk ke hotel. Alhamdulillah hotel selesa dan dekat dengan Masjid Nabawi. Dari tingkap hotel saya nampak kubah hijau tempat makam Rasulullah s.a.w. dan dua sahabatnya Saidina Abu Bakar Al-Siddik r.a. dan Saidina Umar Al-Khattab r.a..
Sepanjang di Madinah, saya cuba untuk tidak mengganggu Nora dan keluarganya. Oleh kerana Dr. Farah tidak boleh solat, setiap kali ke masjid saya pergi bersama ibu Murni, emak Dr. Farah.
Ibu Murni yang berumur 65 tahun kelihatan sihat, masih kuat berjalan dan tajam ingatannya. Saya kagum kerana dia boleh duduk bersimpuh lama sambil membaca quran setiap kali kami menunggu waktu solat. Saya tidak boleh duduk lama kerana sakit pinggang. Setiap kali masuk masjid saya akan cari kerusi wakaf supaya saya boleh duduk membaca quran dan berzikir semasa menunggu solat.
"Ibu boleh duduk lama begitu tak sakit pinggang ka?", tanya saya mengkagumi ibu Murni. "Sakit juga kalau tidak ikat pinggang begini", balasnya sambil menyelak baju untuk menunjukkan bengkung yang dipakai. "Saya pernah tidak boleh berdiri lama tidak pakai ini. Perut saya selalu sakit semenjak dari muda lagi. Pakai ini saya rasa senang sedikit".
Oh.. itu rupanya rahsia ibu Murni. "Saya juga mahu beli bengkung itu. Di mana boleh dapat?". "Di sini dan di Mekah juga ada jual di tepi-tepi jalan". Saya jumpa bengkung itu tetapi tidak beli. Tidak tahu kenapa.
Hari kedua kami di Madinah jatuh pada hari Jumaat. Seawal pukul tujuh pagi kami bersiap untuk pergi ke Wadi Jinn. Kenapa ia dinamakan Wadi Jinn? Menurut cerita penduduk tempatan, kawasan lembah itu dikuasai oleh jin yang boleh menarik kereta naik bukit.
Perjalanan ke Wadi Jinn mengambil masa lebih kurang setengah jam. Sepanjang perjalanan saya membaca doa-doa supaya dijauhkan dari sebarang gangguan jin dan syaitan. Sempat juga saya mencari maklumat dalam Internet mengenai wadi itu.
Nama sebenar Wadi Jinn ialah Wadi Al-Baida. Ia merupakan salah satu kawasan pergunungan di dunia yang mempunyai kesan reverse gravity. Lega sikit perasaan takut saya apabila fenomena itu terjawab secara saintifik. Kami juga sempat membuat uji kaji dengan fenomena itu.
Kereta yang di letak pada gear N boleh terundur menaiki jalan yang berbukit. Teruja, Harun memusing kereta dan biarkan pada gear N. Subhanallah, kereta Toyota Corolla yang penuh dengan penumpang mula bergerak dan semakin melaju sehingga mencecah 120 Km sejam menaiki jalan itu. Takut hilang kawalan, Harun menekan break dan masuk ke gear 2. Ya, memang aneh.
Sepanjang jalan terdapat banyak kebun kurma. Satu tempat yang agak pelik bagi saya ialah terdapat sebuah tasek semulajadi yang luas di lembah gunung berbatu yang tandus. Subhanallah, kuasa Allah mengwujudkan tasik itu sebagai sumber pengairan kepada ladang di kawasan itu.
Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami berhenti di ladang unta Wadi Al-Daud. Sempat juga saya lihat cara petani memerah susu unta. Hasan dan keluarganya membayar lima riyal untuk minum semangkuk susu segar yang masih panas dan berbuih. Teringatkan wabak MERS, saya tidak berani minum. "Minum susu unta adalah sunah Rasulullah. MERS bukan di sebabkan unta", Hasan cuba menyakinkan saya.
Memang betul unta bukan penyebab MERS. Saya tidak lalu minum apabila melihat najis unta bertaburan keluar semasa susunya diperah dengan tangan petani yang saya tidak pasti kebersihannya.
Kami kembali ke hotel pada pukul 10 pagi. Oleh kerana hari itu hari Jumaat, kami berehat sebentar sahaja kerana bimbang tidak dapat masuk ke dalam masjid untuk solat Jumaat. Apabila tiba di masjid pada pukul 11, penjaga pintu tidak membenarkan kami masuk kerana masjid sudah penuh. "Ma fi makan - tak ada tempat".
Saya yang pergi bersama ibu Murni bertekat juga untuk masuk juga ke dalam masjid. Saya masukkan kasut ke dalam beg plastik bersama selipar ibu Murni dan terus berjalan ke dalam. Memang ada banyak lagi tempat di dalam. Bila saya toleh ke belakang, ibu Murni sudah tidak kelihatan. Kami terpisah. Namun saya tidak bimbang kerana saya pasti dia sudah dapat tempat untuk solat.
Selesai solat Jumaat saya tunggu sebentar kerana tidak mahu membuang masa berasak-asak keluar. Saya rasa ibu Murni akan tunggu saya di pintu kerana beg plastik selipar dia ada pada saya. Bila tiba di pintu, saya tercari-cari ibu Murni tetapi tidak nampak kelibat dia. Saya telefon Dr. Farah tetapi tidak berjawab. Agaknya ibu sudah balik ke hotel sendirian. Saya pun balik ke hotel.
Sampai di hotel memang betul ibu Murni sudah sampai. Tetapi kasihan ibu Murni. Tapak kaki dia melecur seperti memijak bara api. Rupanya ibu Murni balik ke hotel berkaki ayam.
"Aduh.. panas sekali marbel di luar masjid tadi. Saya terlompat-lompat berjalan pulang". Terasa bersalah juga saya kerana terbawa beg selipar dia. Alhamdulillah lecur tapak kaki ibu Murni tidak mudarat selepas disapu lotion lidah buaya yang Nora bawa.
Ziarah ke Madinah tidak sempurna sekiranya tidak masuk ke Raudah untuk solat sunat dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w., dan dua sahabatnya. Namun begitu, hanya orang yang sabar menunggu sahaja dapat masuk ke taman syurga dengan tenang. Untuk wanita, Raudah hanya dibuka pada pukul 7 hingga 10 pagi, pukul 2 hingga 4 petang dan pukul 8 hingga 10 malam.
Raudah merupakan kawasan yang dianugerahkan Allah sebagai tempat yang sangat makbul berdoa. Benar, berdoa itu boleh dilakukan di mana-mana. Allah Maha Mendengar. Berdoa di Raudah mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia tapak asal Masjid Nabawi. Semasa hayat baginda, Rasulullah s.a.w. mengimami solat, menerima wahyu dan menyampaikan ilmu kepada para sahabat Baginda di tempat itu.
Hari pertama kami tidak sempat masuk ke Raudah. Jadi saya bertekat untuk masuk juga pada hari kedua.
"Kalau kita pergi pagi mesti teruk berasak sebab hari ini hari Jumaat. Elok kita pergi selepas selesai makan malam. Kita pakai telekung hitam supaya penjaga pintu Raudah tidak halau kita masuk kumpulan jemaah Indonesia atau Malaysia", Nora mengatur strategi.
Selepas solat isyak dan makan malam kami tidur sebentar. Hampir pukul 10 malam, kami bersiap ke Masjid Nabawi. Jemaah wanita berpusu-pusu masuk melalui pintu nombor 25, pintu Othman A'fan untuk ke Raudah. Penjaga pintu memanggil ikut kumpulan negara jemaah. "Ibu-ibu Indonesia di sini, Malaysia di sana", panggil penjaga pintu.
Oleh kerana tidak bertelekung seperti Indonesia atau Malaysia, kami terus masuk hingga hampir ke hentian terakhir tanpa disekat. Hanya tinggal beberapa langkah dari karpet hijau taman syurga. Makam Rasulullah s.a.w. dan dua sahabatnya kelihatan di depan tetapi tidak boleh hampir kerana ada sekatan.
"Kita niat iktikaf dan tunggu di sini sampai jemaah hampir habis masuk. Kita solat, baca quran dan rehat di sini", Nora yang sudah banyak pengalaman masuk Raudah memberi cadangan.
Pukul 12 tengah malam, kami bergerak ke depan perlahan-lahan mengikut jemaah lain sehingga hampir sampai ke sekatan terakhir, tiba-tiba Nora sudah tidak kelihatan. Kami sudah bersetuju, sekiranya terpisah, setelah selesai di Raudah balik terus ke hotel. Tinggal saya bersama ibu Murni.
"Hari itu saya datang sendiri jadi saya masuk jemaah Indonesia. Saya boleh masuk Raudah tapi tidak boleh solat. Habis kepala saya diinjak-injak", cerita ibu Murni tentang pengalamannya masuk Raudah.
"Sebelum ini saya masuk Raudah bersama anak perempuan. Setelah masuk raudah, kami berjalan terus rapat ke dinding depan. Kami solat bergilir-gilir. Anak saya solat dulu, saya benteng dia dari dipijak dan kemudian saya pula solat dengan dibenteng oleh anak. Itu pun tersempil-sempil", saya pula bercerita.
Malam itu kami terus menunggu dengan sabar sambil menyaksikan kumpulan jemaah mengikut negeri masuk ikut giliran, berasak-asak dan ada yang menjerit-jerit. Terdapat ramai juga jemaah lain “tidak bernegara” yang menunggu seperti kami. Pada pukul 1 pagi, penjaga pintu Raudah memanggil kumpulan terakhir iaitu jemaah Turki masuk.
Sebaik sahaja jemaah terakhir keluar dari Raudah, saya dan ibu Murni bersama jemaah yang masih menunggu masuk dapat melangkah tenang ke kawasan karpet hijau. Alhamdulillah, kami boleh sujud syahdu mencium wangian taman syurga dan berdoa dengan sempurna tanpa berasak-asak dan bersempil-sempil.
Keheningan dan keinsafan sungguh terasa. Jiwa bergetar dengan perasaan yang tidak tergambar. Tanpa sedar menitis air mata yang membawa bahagia dan tenteram di jiwa. Doa dipohon tenang dan telus dari hati. Semoga setiap detik masa menunggu ke raudah pada malam itu diterima Allah sebagai ibadat yang mendapat pahala sebagai bekalan di akhirat yang kekal abadi.