Wednesday, 15 May 2013

Lebah Kelulut


Pada 13 April 2013 saya berpeluang mengikuti kursus penternakan lebah kelulut yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razib Ibrahim, pakar penternakan lebah kelulut di bengkel beliau di Kampung Petani Sering, Bachok, Kelantan. Bengkel sehari yang saya hadiri bersama anak bongsu yang berumur 9 tahun telah memberi pengetahuan baru tentang kehidupan dan ciptaan Allah yang akan saya kongsi di sini.


Ciri-ciri lebah kelulut
Lebah kelulut bersaiz 3 – 8 mm dan sangat lincah bergerak. Ia sangat berbeza dengan lebah Apis (Apis Dorsata-Lebah Tualang dan Apis Cerana-Lebah Lalat) yang ukurannya lebih besar dan pergerakkannya tidak bergitu lincah. Serangga ini mempunyai 3 pasang kaki yang semuanya beruas-ruas. Sepasang kaki belakang memiliki duri-duri yang sangat banyak sehingga mampu memegang erat debunga yang dikutip dari tumbuhan. Di bahagian kepala terdapat sepasang mata yang sangat lebar, mirip mata belalang, mempunyai sepasang antena, dengan mulut muncung panjang bagi memudahkan lebah kelulut menghisap madu. Ia juga mempunyai sepasang sayap di punggungnya berukuran lebih panjang yang membuatkannya dapat bergerak bebas dengan lincah di udara.

Produk Lebah Kelulut

Madu Kelulut – warnanya lebih jernih berbanding madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Madunya mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Dalam Al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan An-Nahl bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.” “Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Madu berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia. Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan. Khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan metabolisme badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

Propolis - Propolis terbentuk dari bahan resin yang diambil lebah dari pohon yang mengandungi getah. Lebah kelulut kemudian memprosesnya sehingga membentuk propolis, bahan yang berwarna hitam, kuning atau coklat tua di sarang lebah kelulut.

Propolis berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang. Dalam propolis mempunyai berberapa bahan aktif seperti flavonoid, fenolik hidroquinon, tannin, triterpenoid dan gula produksi.

Bee Bread atau Roti Lebah Kelulut- Ia merupakan makanan simpanan kelulut selain daripada madu. Bee Bread merupakan campuran debunga (pollen) dengan madu yang diolah menggunakan air liur kelulut. Ianya kemudian melalui proses pencernaan dan fermentasi.

Khasiat daripada bee bread ini amatlah banyak berbanding pollen kerana ianya mempunyai banyak asid amino essential. Kajian dari USM Kubang Kerian telah membuktikan bahawa pengambilan bee bread ini akan memperkuatkan fungsi hati, hempedu, otot, mata, serta dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi seseorang pengamalnya.

Hmm.. besarnya ciptaan Allah. InsyaAllah, malam ni 8 kotak lebah kelulut saya akan sampai. Saya akan berpeluang memerhati dan mengkaji lebah kelulut dengan lebih dekat lagi selepas ini. Semoga usaha saya untuk menternak kelulut akan berjaya dan mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home