Wednesday, 20 March 2013

Penyakit dengki memusnahkan kebahagiaan

Penyakit dengki adalah seperti barah yang memakan hati dan perasaan tanpa disedari. Dengki merupakan dosa pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah dalam kejadian iblis yang enggan tunduk kepada Adam. Iblis dengki dengan kedudukan yang dianugerahkan Allah kepada Adam. Akibat dengki tersebut, iblis telah mendapat laknat Allah. 


"Tidak ada yang menyenangkan daripada seorang pendengki kerana dia akan selalu menjadi musuh dalam selimut", begitulah bunyi satu ungkapan yang akan membuatkan orang yang bersifat dengki terhumban ke neraka jika tidak bertaubat. Pendengki selalunya akan menjalinkan persahabatan dengan hasrat yang buruk dan persahabatannya akan berakhir dengan permusuhan. Pendengki selalu merasa susah hati, makan tak enak, tidur tak nyenyak dan lenyap nikmat hidup.

Kita perlu ingat bahawa penyakit dengki akan memusnahkan segala amal ibadat serta kebaikan yang pernah kita lakukan seperti sabda Rasulullah SAW, "Jangan kamu dengki kerana dengki itu melenyapkan kebaikan sebagaimana api memakan kayu api". (Hadis riwayat Bukhari).


Kita perlu sedar bahawa segala kelebihan atau kekayaan yang kita nampak pada orang lain merupakan pemberian Allah yang juga mungkin merupakan ujian kepadanya. Oleh itu, jagalah diri daripada perasan dengki kerana kerana penyakit ini memusnahkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup

Marilah kita memohon agar dijauhkan daripada sifat dengki. Perbanyakkan membaca surah al-Falaq yang bermaksud "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh daripada kejahatan makhlukNya. Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita. Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki".


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home