Memori Saudi - Sendirian
Baru dua hari bersendirian di rumah transit KAU Rabigh, kepala rasa kosong kekeringan idea. Suami dan anak-anak sumber inspirasi sudah pasti gembira dapat kembali ke Malaysia. Tiada suara anak-anak berbalah manja. Tidak kedengaran dengusan bosan suami.
Sendirian di rumah menyebabkan kokokan merpati yang bersarang di tepi tingkap ruang tamu jelas kedengaran. Bau najisnya juga semakin menyengat hidung. Hancing tikus pula bertambah kuat baunya. Permainan fikiran agaknya! Azan dari masjid di tepi rumah kuat kedengaran tetapi tiada kelibat suami untuk bergegas ke masjid.
Perangkap tikus yang dipasang Ameen semasa hendak balik ke Malaysia tidak mengena lagi. Perlu tukar umpan agaknya.
Penyaman udara dan kipas angin bilik air dihidupkan berpanjangan supaya udara beredar. Lampu di semua ruang dibiarkan cerah. TV satelit Megamax dan radio online FM Kelantan bersuara tidak berhenti-henti. Bukan takut, tapi sunyi bersendirian.
Suasana begini membuatkan hati tergugat untuk terus bersendiran lagi. Baru dua hari sudah begini. Boleh kah saya bertahan dua tahun?
"You have to be strong", terngiang-ngiang pesan Nora yang juga pernah bersendirian di Rabigh. "Kita semua yang ke sini pernah duduk sendiri. Biasa la tu", sindir pula PM Sulaiman, Dr. Hasan dan Dr. Andy. Ya, masing-masing ada cerita tersendiri.
Saya pula, mula terfikir kembali kenapa mahu tinggalkan keluarga untuk hidup sendirian di padang pasir gersang. Alhamdulillah saya sudah punya segalanya. Keluarga bahagia, rumah besar di tepi sungai, kereta mewah dan kawan-kawan yang baik. Ya, syukur saya sudah merasakan syurga dunia.
Fokus! Fokus! Fokus! Mahu tambah ilmu dan pengalaman. Ambil peluang tambah ibadat di bumi anbiyak. Boleh kerap ke Mekah dan Madinah. Biar sendiri, kuatkan semangat, tabahkan hati. Ya, grasp the opportunity while you still can, bisik hati kecil saya. Kalau sudah obsolete atau tiada kudrat lagi, peghijrahan ini akan tinggal impian.
Ramai rakan lain teringin hendak datang menimba pengalaman di bumi anbiyak, tetapi tidak kesampaian. Ada-ada saja halangan mereka. Belum ada rezeki. Terbayang juga kawan-kawan yang bertarung dengan berbagai penyakit. Berulang alik ke hospital. Tiada lagi peluang ke mana-mana.
"Setiap kita akan dapat hadiah yang berbeza-beza dari Allah, a different kind of gift", itu pesanan Mufti Menk dalam salah satu ceramah beliau. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
Musibah, sakit, duka atau ketakutan, semuanya dugaan Allah. Alhamdulillah saya hanya diuji dengan sedikit rasa kesunyian. Itu tanda Allah masih ingat pada saya. InsyaAllah, saya hanya keluar sebentar dari dunia selesa untuk belajar dari kehidupan di bumi gersang. Peluang untuk menghayati perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda. Peluang untuk menjadi hamba yang lebih baik sebelum dipanggil kembali oleh Nya.
"Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat)" (al-'An'am: 94)