Hari ini sudah sebulan setengah saya menikmati hidup sebagai orang pencen. Alhamdulillah, saya rasa sungguh gembira, dapat menghargai kehidupan tanpa perlu memikirkan desakan organisasi yang merimaskan. Saya berpeluang meneroka aktiviti-aktiviti baru dalam kehidupan.
Untuk memastikan yang saya tetap kekal cergas, sudah pasti aktiviti renang dan berkebun saya teruskan. Rancangan untuk terus menunggang kuda, belum terlaksana kerana setakat ini suami agak sibuk memulakan ladang lembu bersama anak sulung. Kesian juga kuda-kuda yang kesepian di stable. Namun makan minum kuda-kuda saya tetap terjaga, cuma belum berkesempatan nak menunggang. Ooh, saya juga telah cuba ikuti aerobik, tapi nampaknya rentaknya agak pantas yang menyebabkan saya terasa sengal-sengal lutut. Dah lama tak ikut aerobik agaknya. Kena mula semula perlahan-lahan. Lepas aerobik, perasaan lebih gembira kerana rentak muziknya menyegarkan.
Rancangan saya untuk menghafal Quran juga telah berjalan. Semoga semua yang telah saya hafal dapat kekal dalam ingatan dan diamalkan. Alhamdulillah setakat ini saya telah hafal 29 surah dalam Juzuk 30 . Di samping itu, saya juga telah berkesempatan menghafal dengan lebih lancar doa-doa berikut:
- Doa untuk keturunan soleh (Al-Furqan: 74)
- Doa untuk pohon kenikmatan dari Allah (Al Ahqaf: 14)
- Doa elak anak degil (As Syura: 19)
- Doa supaya diri dan keluarga tetap mengerjakan solat (Ibrahim 40-41)
- Doa pecah kebuntuan/elak sakit kepala (Al Hasyr 21-24)
- Selawat Syifa'
Saya juga telah mengikuti kelas Bahasa Arab Al Quran di
Arabic Learning Centre (ALC), Nilam Puri. Setakat ini saya telah belajar tentang ganti nama diri sehingga Jadual 5.
- Jadual 1 - Dhamir (ganti nama) ada 14 semuanya.
- Jadual 2 - Belajar gabung 14 ganti nama dengan bukan kata kerja.
- Jadual 3 - Gabung ganti nama dengan kata kerja madhi (past tense).
- Jadual 4 - Gabung ganti nama dengan kata kerja mudhari' (present & future tense).
- Jadual 5 - Gabung ganti nama dengan kata kerja amr (ayat perintah).
Alhamdulillah saya agak mudah mengikuti pelajaran bahasa arab kerana telah pernah belajar asas semasa di University of Miami 30 tahun yang lalu. Masa tu, saya belajar Bahasa Arab daripada pensyarah berbangsa Yahudi yang bukan bergama Islam. Sekarang Ustaz Khaliq yang mengajar di ALC memang seorang yang sabar dan pandai menarik minat kami pelajar-pelajar lanjut usia. Dalam kelas saya yang seramai 10 orang pelajar, ada sepasang pak cik dan mak cik yang berumur 80an, tapi begitu bersemangat belajar. Saya tabik spring pada mereka. Betul... kita kena sentiasa terus belajar hingga ke liang lahad. Saya amat bersyukur kerana bepeluang belajar kembali Bahasa Arab. InsyaAllah bila baca Al Quran, saya dapat lebih menghayati makna dan tafsirannya. Semoga Allah terangkan hati saya dan mempermudahkan saya terus belajar.
Dalam usaha saya untuk keep-up-to-date dengan teknologi, saya telah mengikuti program
Executive Diploma Internet Business and Social Media Marketing di Asia eUniversity. Bertuah juga dapat mengikuti program ini kerana pensyarah utamanya Dr. Irfan Khairi (IK) seorang jutawan Internet, memang sifu dalam bidang ini. Pensyarah Mohd Zulfadli Suddin dan Amim Najmie juga memang mahir dan sentiasa sabar melayan karenah pelajar-pelajar yang semuanya sangat teruja untuk memulakan peniagaan Internet. Belajar dalam program ini juga santai kerana kelas cuma sebulan sekali. Selainnya, kami perlu buat tugasan hingga berjaya membangunkan perniagaan Internet sendiri. Sebagai bekas pensyarah komputer yang dah lama tak buat hands-on programming, perkara teknikal merupakan refresher bagi saya. Yang utamanya saya dapat belajar taktik dan teknik perniagaan Internet. Seperti yang saya katakan kepada pensyarah, saya ni merupakan dalam kalangan mereka yang mula mengajar pasal Internet dan telah menulis buku "Berkenalan dengan Internet", tapi tak pernah pun berkesempatan menjalankan perniagaan Internet. Tak apa, it's never too late to start anything new. Sekarang saya dah dapat bangunkan laman web menjual Ebook di
www.penyakitkomputer.com dan laman blog di
www.penyakitkomputer.com/ergonomi. InsyaAllah sekarang dah boleh panggil diri saya infopreneur atau business blogger. Pulangan kewangan kecil atau besar bukan keutamaan saya, yang utamanya saya dapat terus berkongsi maklumat kepada masyarakat dengan berkesan melalui Internet.
Seterusnya saya juga gembira kerana dapat meluangkan lebih masa berkebun bersama Bibik Ijem. Koleksi pokok-pokok herba saya tumbuh subur. Selain daripada pokok-pokok bunga, saya juga telah menanam pokok-pokok herba, sayur dan ulam berikut:
- pecah beling
- belalai gajah
- sambung nyawa
- kadok
- bebuas
- pegaga
- ulam raja
- terung
- kacang panjang
- limau purut
- limau kasturi
- mulberry
- delima
- inai
- dan beberapa lagi yang saya tak ingat namanya
Salah satu usaha untuk mempelbagaikan biodiversiti dalam kebun, saya juga telah mengikuti kursus menternak lebah kelulut. Sekarang saya dalam usaha untuk menyediakan 8 kotak sarang kelulut dengan bantuan Tuan Haji Razib Ibrahim,
pakar penternakan lebah kelulut di Kampung Petani Sering, Bachok, Kelantan. Subhanallah, belajar tentang kelulut membuatkan saya lebih mengkagumi ciptaan Allah. Betapa Allah menjadikan tumbuhan dan haiwan untuk manusia. Madu, propolis dan bee bread lebah kelulut sangat tinggi khasiatnya untuk manusia. InsyaAllah, 3 bulan lagi sarang kelulut saya akan dapat mengeluarkan hasil. Tak payah la saya beli lagi daripada Tuan Haji Razib. Ha..ha. lepas ni mungkin boleh jadi saudagar produk lebah kelulut pulak. Teruja juga saya.
Perancangan untuk membuat baja kompos sendiri belum terlaksana. Saya sedang belajar dari
blog Dr. Hasanah dan membaca maklumat lanjut untuk memulakan projek kompos/baja organik.
Pemergian saya ke Sydney, Australia menghadiri graduation anak perempuan telah memberi kesempatan untuk saya juga melancong ke Tasmania selama 3 malam pada petengahan bulan April lalu. Hasrat untuk memanjat Tembok Besar Negeri Cina juga telah dapat saya penuhi dengan mengikuti pakej pelancungan
Al Quds pada 30 April - 4 Mei 2013. Saya sempat balik untuk membuang undi di Kota Bharu pada 5 Mei 2013. Nanti saya akan ceritakan lebih panjang mengenai pengalaman melancong dalam post yang lain.
Masa lapang yang Allah berikan juga dapat saya isi dengan lebih banyak membaca. Setakat ini saya telah habis membaca buku:
- Dr. Muhammad 'Abd Al-Rahman, Enjoy Your Life.
- Gretchen Rubin, The Happiness Project
- John Grisham, The Broker
- Sun-Tzu, The Art of War
- Stuart tan, Secrets of Internet Millionaires
- Dr. 'Aid al-Qarni, You Can Be the Happiest Woman in the World
- Mitch Albom, The Time Keeper
- Walter Isaacson, Steve Jobs
- Riduan Mohamad Nor & M. Abd Malik Abd Karim, Mesir Sebelum dan Selepas Dr. Mursi
Alhamdulillah, kehidupan tidak berhenti apabila saya bersara. Saya berharap ia akan memberi saya peluang untuk terus belajar, menghargai kehidupan, mencapai kejayaan yang baru, mulakan pengalaman baru, dan bertemu rakan-rakan baru. Ia adalah permulaan kehidupan baru yang penuh dengan kebebasan. Saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa kejayaan sebenar hanyalah kejayaan yang bermakna di sisi Allah S.W.T. Semoga Allah memberi keampunan dan rahmat kepada saya dan keluarga.





