Laksanakan Tugas dengan Penuh Minat dan Gembira
Kajian mendapati 80% daripada pekerja tidak menjalankan tugas mereka dengan penuh minat dan gembira. Mereka menjalankan tugas dengan perasaan malas, tertekan dan rasa tidak puas hati serta serba tidak kena. Ramai juga yang menyesal kerana telah memilih pekerjaan yang sedang mereka lakukan. Dengan penyesalan, kebosanan, kebencian dan ketidakpuasan yang membendung, bagaimana kita dapat menjalankan tugas kita dengan menuh minat dan gembira? Tentu sekali tidak mungkin!
Oleh itu, seseorang insan harus berhati-hati sebelum memilih sesuatu pekerjaan atau sebelum menceburkan diri dalam sesuatu lapangan. Sekiranya anda dapati kerja yang anda lakukan sekarang ini benar-benar tidak sesuai dengan jiwa dan bakat anda, maka anda harus berusaha untuk mencari pekerjaan yang lebih sesuai dengan jiwa dan kebolehan anda. Jika anda terus dalam keadaan tidak suka, akibatnya anda akan mengalami berbagai kesulitan.
Sekiranya anda mempunyai gejala berikut, bermakna anda sebenarnya tidak menjalankan tugas dengan penuh minat dan gembira:
- Tiada ketenangan jiwa.
- Anda kerapkali kelihatan sedih dan murung.
- Anda merasa kesepian dan keseorangan.
- Fikiran anda kerapkali buntu dan tiada buah fikiran yang bernas.
- Kurang keyakinan terhadap diri sendiri.
- Kurang kerjasama daripada rakan-rakan setugas.
- Anda merasa mudah bosan dalam menghadapi tugas dan hidup seharian.
- Anda menaruh perasaan dendam, benci dan prasangka terhadap orang lain.
- Proses pencernaan anda lemah iaitu anda merasa tidak lawas buang air besar atau air kecil.
- Tekanan darah anda tidak stabil.
Anda perlu ingat bahawa tanpa kebolehan menjalankan tugas dengan penuh minat dan gembira, anda tidak akan dapat mencapai kejayaan yang besar. Ralph Waldo Emerson pernah berkata, "Nothing great was ever achieved without enthusiasm". Kata-kata ini bermaksud, tanpa rasa gembira dan minat yang mendalam, kita tidak akan dapat mencapai sebarang kejayaan yang membanggakan.