"Eeeh, lajunya kereta tu. Kelajuan kita pun sudah 120Km sejam, dia mesti 200 lebih tu", Dr. Hasan bersuara memecah keheningan dalam kereta semasa kami dalam perjalanan pulang dari Jeddah.
Trip ke Jeddah sekali ini adalah untuk menyelesaikan urusan tiket balik cuti musim panas dan juga untuk hantar borang permohonan calling visa tiga anak lelaki saya yang hendak datang pada bulan May. Urusan tiket dibuat di KAU Jeddah dan borang visa di MoFA.
Alhamdulillah. Saya, suami dan dua orang anak dapat tiket penuh pergi balik dari Jeddah hingga ke Kota Bharu. Urusan di MoFA juga cepat, tidak sampai lima minit. Semua kawan yang menunggu terkejut. Pantas sungguh tidak seperti biasa. Pengalaman mereka, sudahlah lama menunggu, banyak pula soalan dan karenah di kaunter serahan borang.
Kami pergi dua buah kereta. Dr. Hasan memandu kereta Nora kerana Harun tidak sihat. Sebuah lagi kereta dipandu Dr. Sulaiman dan ditumpangi oleh Dr. Andy dan Kamal anak Nora.
"Bukankah had laju sini 120 Km sejam saja dan ada kamera speed trap?, tanya saya. "Memang betul. Orang saudi tidak kisah. Tengok tu kereta sana, nombor plet depannya ditutup. Kamera pun tidak dapat kesan. Laju macam mana pun mereka terlepas. Bila hampir sampai ke tempat sekatan jalanraya mereka berhenti sekejap dan tanggalkan penutup plet. Lalu melintasi polis selamba sahaja. Selepas itu tutup semula plet", sambung Hasan.
"Ada pelajar saya yang lesen ditarik balik selepas banyak kali didenda kerana laju. Tapi mereka bawa juga. Mereka pandai rancang untuk tidak disoal semasa sekatan jalanraya". "Macam mana tu?" tanya saya teruja.
"Mudah saja. Kalau mahu kemana-mana pastikan bawa perempuan duduk di sebelah pemandu. Di sekatan jalanraya biasanya polis tidak suruh berhenti kalau ada perempuan atau anak-anak dalam kereta. Kalau mereka berdua lelaki, yang duduk di sebelah menyamar pakai niqab dan abaya. Lepas. Mereka boleh bawa dari Jeddah sampai Rabigh cuma 45 minit. Macam terbang".
"Sebulan lepas semasa pulang dari kampus, saya lihat kemalangan. Kasihan betul saya tengok lapan ekor unta tergolek berlumuran darah. Ada yang termasuk dalam kereta terus. Itulah, dilanggar oleh kereta pelajar yang memecut. Kereta hancur, pemandu tidak tahu lah bagaimana".
"Kereta orang saudi biasalah kemek dan bergores sana-sini. Ramai daripada mereka tidak sabar, hentam saja pembahagi jalan atau apa-apa halangan asalkan boleh berjalan terus", cerita Hasan.
Bila saya semak statistik kemalangan jalan raya di Arab Saudi, memang mengejutkan. Rekod tahun 2011, kemalangan jalan raya mengorbankan lebih 7,000 dan kecederaan 68,000 orang. Ini adalah rekod trafik paling buruk dunia. Angka kematian lebih besar daripada korban dalam perang di Teluk! Innalillahi wainna ilaihi raajiun.
Berdasarkan statistik itu ulamak Arab Saudi mengeluarkan fatwa mengatakan bahawa orang yang terkorban dalam kemalangan jalan raya disebabkan kecuaiannya adalah dianggap membunuh diri dan berdosa besar.
Itu lah sebabnya perempuan di sini tidak dibenarkan memandu. Sangat bahaya dengan sikap rakus pemandu lelaki terutamanya golongan muda. Potong lampu merah, pusing ke mana-mana tanpa isyarat. Lambat sedikit bunyikan hon. Perempuan pun takut hendak bawa.
Lebih mudah jadi madam, ada pemandu ke mana-mana. Kalau perempuan hendak pandu kereta boleh juga. Pandu saja dalam padang pasir. Polis tidak kisah.
Di Malaysia, saya biasa berdikari. Ke sana ke mari memandu sendiri. Sampai di Rabigh terasa juga tersekat kebebasan. Hendak ke mana-mana yang agak jauh terpaksa pergi bersama keluarga kawan atau bayar pemandu. Alhamdulillah, saya masih sihat dan kuat. Kampus dan segala kemudahan dekat. Saya berjalan sahaja.
Alhamdulillah berjalan memberi masa kepada saya untuk berzikir dan menghayati nikmat yang Allah berikan kepada saya. Semoga setiap langkah saya diterima oleh Allah sebagai ibadat.
"Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" (Al-Rahman: 31-32).
No comments:
Post a Comment