Tuesday, 1 November 2016

Memori Saudi - Hati Berbolak Balik

Perjalanan pulang dari Madinah menggamit rindu saya kepada keluarga tersayang. Fikiran saya berkira-kira tidak mahu menyambung kontrak untuk sesi pengajian akan datang. Belum terlambat. Kontrak saya tamat 13 Ogos 2015 (27 Syawal 1436). Kalau hendak berhenti, saya perlu beri notis dua bulan sebelum kontrak tamat.
     Kegembiraan dua malam di Madinah tiba-tiba bertukar sayu. Gembira kerana dapat beribadat di Masjid Nabawi, Masjid Quba', menziarahi  makam Rasulullah s.a.w. dan sahabat-shabatnya serta menziarahi tempat sejarah perkembangan Islam.
     Sayu kerana terpaksa meninggalkan taman syurga atau sayu kerana rindu keluarga? Saya tidak pasti! Baru pukul lapan pagi tadi saya berdoa di Masjid Nabawi supaya ziarah ini bukan yang terakhir. Jika diizinkan Allah saya mahu kembali bersujud mencium wangi di taman syurga bersama keluarga tersayang.
     "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagiku kepadanya ziarah untuk kesekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan. Jika aku mampu, Insya Allah aku datang lagi. Jika aku mati, kutitipkan pada sisiMu syahadah (kesaksianku, amanahku, perjanjianku, timbanganku) pada hari itu untuk kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambaNya lagi utusanNya. Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan (Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam."
     Saya ke Madinah bersama dua keluarga kawan sepejabat. Oleh kerana saya solo, mereka setuju kami ambil 2 bilik hotel sahaja. Suami dan anak-anak lelaki mereka duduk satu bilik dan kami yang perempuan di bilik yang lain. Tidak ada kurangnya layanan mereka. Kami bersama masuk keluar Masjid Nabawi  dan Raudah. Makan dan shopping juga mereka tidak tinggalkan saya seorang.
     Namun sepanjang perjalanan pulang melalui gurun gersang saya teringat keluarga dan rumah kami di tepi sungai. Saya merasa kesepian di tengah keramaian.
     Mungkin esok saya boleh berbincang dengan Dr. Sulaiman keinginan saya untuk tidak menyambung kontrak. Saya cuma mahu habiskan semester ini! Rindu semakin rancak menggamit. Hati saya berbolak balik.
     Tapi... saya belum mencapai matlamat asal datang ke Rabigh. Saya belum boleh memahami makna bacaan Quran tanpa merujuk terjemahan. Saya belum boleh bercakap Arab. Saya baru merangkak-rangkak menambah kosa kata bahasa Arab. Baru bercakap Arab ayat-ayat pendek. Itu pun menjadi bahan ketawa kawan-kawan Arab. Saya belum puas menambah ibadah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
     “Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka” (Al-An’am: 110).
     Hati atau qalbun memang sifatnya berbolak-balik dan berubah-ubah. Dari senang boleh berubah sekelip-mata menjadi sedih dan susah hati. Dari yakin tiba-tiba berubah menjadi bimbang. Saya terus memujuk hati ini. Jangan sedih tanpa keluarga di sisi. Jangan bimbangkan ibu-bapa, suami dan anak-anak di rumah.
     Mampu kah saya menjaga hati ini untuk setahun lagi? Bagaimana saya mahu mengawal lintasan hati yang berubah?
     "Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang" (Ar-Rad: 28).
     "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera” (Asy-Syu'araa: 88 - 89).
     Saya pasti Allah tahu saya bertarung untuk menjaga sekeping hati ini. Saya yakin, Allah memahami perasaan hati saya.
     "Ya Allah ampunkan aku. Berilah aku kekuatan untuk melawan perasaan rindu yang keterlaluan kepada keluargaku. Ya Allah, kurniakan kepada aku kegigihan dan semangat yang tinggi. Permudahkan lah segala urusan ku. Janganlah Engkau biarkan hati aku gelap dipenuhi titik hitam yang boleh mengaburi matlamat kehadiran aku di sini. Ya Allah Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati aku pada agamamu". 

No comments:

Post a Comment