Saturday, 26 November 2016

Memori Saudi - Arab Hanya Mahu Jadi Bos

Pada 23 May 2015, Profesor Wahdah menghantar email tentang arahan bercuti musim panas. "Pensyarah expatriate hanya akan diberi pasport pada 4 Jun dan boleh exit pada 7 Jun".
    Lagi dua minggu nak cuti baru keluar arahan! Pensyarah expatriate jadi kelam kabut kerana ramai yang sudah membeli tiket sebelum 7 Jun untuk pulang ke tanah air masing-masing. Peperiksaan dan laporan kursus semua sudah siap, hendak tunggu apa lagi? Begitulah kalau sudah bermajikan orang Arab. Keluar arahan ikut suka hati sahaja.
     Menurut Dr. Sulaiman yang sudah lebih 7 tahun di Rabigh, sebelum ini tidak pernah ada arahan begitu. Gaji musim panas pun masuk awal. Tapi tahun ini semuanya masih tertunggu-tunggu mesej bank.
     Bukan boleh hendak curi-curi balik kerana pasport kita disimpan oleh majikan. Tambahan pulak, untuk keluar dari negara Arab Saudi perlu ada visa exit reentry (Khuruj wa audah) yang akan diuruskan oleh majikan di Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi. Dua atau tiga hari sebelum berangkat baru majikan akan selesaikan urusan visa dan serahkan pasport. Itupun perlu diingatkan berulang-kali! Pasport diberi, iqamah diambil.
      Untuk cuti musim panas, semua pensyarah dibayar hampir tiga bulan gaji sekali gus. Kalau nak pindah duit, tiga hari transaksi baru selesai sebab satu hari tidak boleh lebih SAR20K. Hati tidak senang  kalau balik sebelum terima gaji. Bukan boleh hendak pindah online dari luar Saudi.
     Dr. Sulaiman ingatkan supaya kosongkan akaun sebelum keluar Saudi. Kalau apa-apa berlaku, duit akan hangus dalam akaun. Urusan bank semuanya perlukan iqamah. Tidak boleh keluar duit kalau tidak ada iqamah. Macam itu lah berurusan dengan orang arab. Peraturan atau arahan boleh berubah sekelip mata.
     "Kita yang makan gaji dengan orang arab ini kena faham feel mereka baru boleh bekerja dengan senang hati", bebel Dr. Sulaiman kepada kami sebelum dia berangkat pulang kelmarin. "Hendak kerja di sini, ikut sahaja cara mereka. Jangan membantah. Cadangan kita bukannya mereka mahu terima. Kalau mat saleh cadang baru mereka ikut". Marah saja bunyi Dr. Sulaiman kerana terpaksa pulang dahulu sebelum gaji diterima.
      Orang Arab sentiasa hendak jadi bos. Mereka tidak mahu kerja yang bawahan. Mereka sanggup mengganggur daripada bekerja seperti yang dibuat oleh pendatang asing. Itulah sebabnya kadar pengangguran semakin meningkat melebihi 12%. Penganggur pula akan mendapat elaun sebanyak SAR2000 sebulan.
     Sekitar 90 peratus warga Saudi bekerja di pejabat kerajaan. Sementara itu, sebanyak 90 peratus lapangan kerja di sektor swasta diisi oleh pekerja asing yang jumlahnya melebihi sepuluh juta orang.
     Kerajaan Arab Saudi menghantar ramai pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara terutamanya di Amerika dan Eropah untuk mengisi jawatan tinggi kerajaan. Namun, khabarnya ramai yang pergi keluar negara memaksimumkan tempoh belajar dan ramai yang pulang tanpa ijazah yang sepatutnya. Sementara menunggu perubahan minda rakyatnya, negara Arab Saudi terpaksalah bergantung kepada tenaga kerja asing.
     Walaupun suasana pekerjaan tidak sebaik di negara sendiri, orang asing datang juga kerana pendapatan di Arab Saudi lebih tinggi berbanding di negara sendiri. Orang Saudi akan dapat tiga kali ganda gaji yang dibayar kepada orang asing untuk jawatan yang sama. Memang mewah!
     Untuk bertahan sebagai pekerja asing di bumi Arab Saudi ini, kata kuncinya ialah SABAR..... Sabar dengan karenah orang arab, sabar tinggal di bumi gersang dan sabar berjauhan dari keluarga dan kampung halaman. Hanya Al Haramaian sebagai penawar hati.
     “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya" (Al Imran: 200).    

No comments:

Post a Comment