Tuesday, 22 November 2016

Memori Saudi - Angan-angan Hendak Menantu Arab

“Ahmad, tengok belakang hang tu, comel mek arab tu”, kedengaran suara Aiman mengusik Ahmad semasa kami empat beranak bersarapan pagi di Hotel Zam-zam Pullman Mekah.
     “Kalau minat mek arab, umi ada berkenan dengan seorang pelajar umi. Manis, lembut dan rajin belajar. Nanti umi selidik latar belakang dia”, usik saya pula kepada Ahmad yang katanya belum berpunya.
     Ahmad hanya tersenyum kambing sambil mengusap janggutnya yang baru mula tumbuh. Kalau Ahmad suka, saya juga ada hajat hendak bawa balik menantu arab. Boleh terus praktis cakap arab bila balik ke Malaysia.
     Rupanya bukan senang hendak berkahwin dengan wanita Arab Saudi. Untuk berkahwin dengan orang asing, wanita arab perlu mendapatkan kelulusan daripada raja. Proses permohonan memakan masa yang panjang. Memang jarang sekali wanita Arab Saudi berkahwin dengan lelaki asing.
     Umumnya keluarga wanita arab saudi menetapkan kritirea yang agak sukar dipenuhi seperti kedudukan sosial keluarga lelaki serta mengenakan wang hantaran yang tinggi.
     Menurut kawan sepejabat saya, biasanya wang hantaran adalah sekurang-kurangnya 20 ribu riyal. Ada yang menetapkan hadiah tambahan seperti sebuah kereta, seorang pemandu dan sebuah banglo. Kos mengadakan majlis perkahwinan juga mahal.
     Menurut satu laporan kajian, didapati 1.5 juta (33.4 peratus wanita Arab Saudi) gadis dan 600,000 pemuda Arab Saudi lewat berkahwin, sedangkan usia mereka sudah mencapai 30 tahun. Alasan utama mereka berkahwin lewat adalah masalah kewangan.
     Kajian mendapati ramai lelaki Arab Saudi kini memilih berkahwin dengan wanita warga asing kerana kurang rumit dan kos yang murah, berbanding kos yang terlalu tinggi untuk mengahwini gadis tempatan.
    Sesetengah wanita negara itu juga dikatakan enggan mengubah cara hidup mereka. Ada gadis yang terlalu manja kerana tinggal dengan keluarga sendiri. Mereka mempunyai bilik sendiri dan pembantu rumah. Paling penting mereka tidak mempunyai tanggung jawab dan komitmen.
     Kurang berdikari menyebabkan mereka menghadapi masalah apabila tinggal bersama suami dan perlu bertanggung jawab terhadap rumah tangga.
     Fenomena wanita tidak berkahwin di negara itu dilaporkan semakin meningkat menyebabkan banyak pihak menyuarakan kebimbangan supaya satu jalan penyelesaian dicari.
     Kajian juga melaporkan yang statistik perceraian melonjak sehingga 18 ribu dari 60 ribu pernikahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Punca utama termasuklah penyalahgunaan Internet dan media sosial yang menimbulkan kecurigaan, khususnya dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin.
     Sebab lain termasuklah kurangnya persefahaman antara pasangan, perbezaan budaya dan pendidikan, hubungan sulit, dan kecuaian pasangan dalam menjalankan tugas masing-masing, di tambah dengan masalah kewangan dan keluarga.
     Mendengar cerita begitu menjadikan hati saya tawar hendak bermenantukan anak arab. Baik cari anak gadis Malaysia yang solehah.
      “Perempuan itu dinikahi karena empat perkara, karena hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan karena agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama niscaya kamu bahagia.” (Hadis: Muttafaqun ‘Alaihi)

No comments:

Post a Comment