Pada pukul 3.31 pagi 16 Mac 2015, saya terkejut daripada tidur apabila
mendengar bunyi telefon. Bukan bunyi alarm
yang biasa saya set untuk bangun pagi. Bukan bunyi WA atau Mesengger kerana
biasanya saya matikan Wifi sebelum tidur.
Rupanya bunyi mesej STC yang
dihantar oleh bank. "XXX60 SAR has been credited to your account".
Alhamdulillah, duit gaji
untuk empat puluh lapan hari pertama bekerja di KAU sudah masuk. Bagi saya
jumlah sebanyak itu memang cukup banyak.
Namun, kedatangan saya ke
Rabigh bukan untuk mengejar wang. Saya betulkan niat bahawa saya berhijrah
untuk mencari keredaan Allah dengan matlamat utama untuk mendalami bahasa Quran
sambil mengajar komputer dan mengambil peluang menambahkan ibadat di Mekah dan
Madinah.
Syukur, semasa masih bekerja
di Malaysia saya tidak pernah kesempitan wang. Saya pencen dengan senang hati
tanpa terikat dengan sebarang hutang. Gaji pencen yang saya terima setiap bulan
lebih dari cukup untuk perbelanjaan saya.
Alhamdulillah semua
perbelanjaan keluarga suami saya yang tanggung. Anak-anak juga sudah mula
bekerja.
Sebenarnya nilai keseluruhan
yang saya dapat adalah lebih dari itu. Nilai itu tidak semestinya dalam bentuk
Saudi Arabia Riyal (SAR) atau Ringgit Malaysia (RM). Bagi saya, peluang dan
pengalaman hidup di sini mempunyai nilai yang lebih dari segalanya walaupun
terpaksa berjauhan dengan keluarga.
Alhamdulillah, dalam bulan pertama
berada di sana saya berkesempatan menunaikan umrah bersama suami dan dan dua
orang anak. Kami juga telah menziarahi Madinah dan Taif. Peluang untuk
menginsafi penderitaan Rasulullah S.A.W. dan Para Sahabat berhijrah dan
menyebarkan Islam di bumi tandus yang penuh kesukaran. Peluang untuk menghargai
keindahan hidup sebagai seorang Muslim.
Peluang ini kalau hendak
diukur dengan wang memang tidak ternilai. Bagi saya, ini merupakan sebahagian
pelaburan yang lebih utama. Pelaburan untuk bekalan hidup di alam yang hakiki.
InsyaAllah, semoga saya dan keluarga dapat meraih keuntungan sebenar untuk
memasuki syurga tertinggi tanpa dihisab.
"Sesungguhnya
(nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan
dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah
hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan
bersungguh-sungguh (di dunia)" (Ash-Shaaffaat: 60-61)
No comments:
Post a Comment