Memori Saudi - Prakata
Salah satu daripada resolusi persaraan saya ialah hendak menulis buku.
Namun setelah dua tahun berlalu, saya hanya mampu menulis blog. Ya, menulis
blog bila ada kelapangan, tidak bersungguh-sungguh menulis mengikut jadual.
Menulis artikel sekali sekala untuk majalah tempatan.
Saya mahu melihat sesuatu
yang tangible hasil persaraan awal. Saya bukan bersara untuk goyang kaki, minum
kopi di tepi sungai. Saya mahu lakukan sesuatu yang saya tidak berkesempatan
melakukannya semasa masih bekerja. Saya ikut rutin baru, buat jadual harian,
cuba menulis, tetapi penulisan buku masih tidak bermula.
Teringat saya semasa di
tingkatan lima, Cikgu Bakar guru Bahasa Melayu selalu memanggil saya ke depan
untuk membacakan karangan yang saya tulis. Semasa mengambil kelas penulisan
Bahasa Inggeris di tahun satu University of Miami pensyarah meminta saya
membaca cerita yang saya tulis tentang bapa saya. Saya rasa saya boleh menulis,
hanya masa yang mencemburui saya.
Kedatangan saya ke Rabigh
membawa perubahan. Saya punya banyak masa. Hidup ringkas sendirian memberi
peluang saya berfikir dan menulis anywhere
anytime 24 by 7. Setiap perkara yang lihat, yang saya alami, semuanya
timbul ilham untuk menulis. Alhamdulillah, Allah telah memberi ilham dan
kesempatan untuk saya menulis.
Saya menulis "Memori Saudi" untuk kenangan diri saya. Mungkin juga untuk anak-anak
saya. Itupun kalau mereka berminat membaca cerita ibu tua separuh abad yang
sanggup meninggalkan mereka untuk terus belajar dan mencari pengalaman baru
dalam hidup yang bersisa ini. Mungkin juga untuk suami agar dapat mendengar
suara hati isteri yang tidak kesampaian bila sentiasa tidur sebantal.
Kepada pembaca sekelian, saya
bersyukur sekiranya anda terus membaca buku ini sehingga halaman terakhir.
Semoga perkongsian cerita saya sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan anda
tentang pahit manis kehidupan di bumi Saudi. Semuanya saya tulis daripada
pengalaman dan perspektif sendiri sepanjang 100 hari pertama saya tinggal di
Rabigh.
Saya harap agar setiap masa yang diisi untuk
menulis buku ini diterima oleh Allah sebagai sebahagian daripada ibadat saya.
Segala ilham yang baik itu adalah daripada Allah SWT dan yang buruk itu
daripada kelemahan diri saya sendiri. Saya minta ampun daripada Allah SWT
sekiranya terdapat kandungan buku ini yang secara tidak sedar mungkin
menimbulkan dosa kepada saya atau kepada anda yang membaca. Astagfirullah,
Astagfirullah, Astagfirullah.
"Ya Allah, Engkau adalah
Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu,
dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, (yang akan aku
laksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung pada-Mu, dari
kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya)
nikmat-Mu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak
ada yang boleh mengampuni dosa dosa, kecuali Engkau".
Sharifah Mastura Syed Mohamad
2 Comments:
Kisah dan naratif seperti ini amat bernilai dan bermutu di mana ia dapat dijadikan sebahagian dari ilmu dan pengetahuan dalam memahami hakikat diri dan kehidupan serta penakkulan terhadap Pencipta sekelian alam. Syabas Dr. Teruskan berkarya semoga legasi dapat dilestarikan bagi mereka yang berfikir.
Syabas teruskan usaha,dik.
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home