Kami tiba di Jeddah dari Kuala Lumpur pada pukul 10.30 malam. Mulanya saya dan anak perempuan berpakaian maxi dan tudung bewarna dan tidak memakai niqaf. Turun dari pesawat, kami menaiki bas untuk ke tempat imigresyen check-in. Semasa dalam bas, saya perhatikan yang semua penumpang wanita berpakaian abaya hitam, tapi ada yang tidak berniqaf. Masih di Jeddah, tidak perlu niqaf lagi.
Terasa pelik sebab berbeza dengan wanita lain, sebaik tiba di tempat check-in, saya dan anak perempuan terus ke tandas untuk menyaruk abaya dan tudung hitam dan bersedia dengan niqaf. Alhamdulillah barisan imigresyen tidak panjang. Saya dan anak-anak check-in pada kaunter yang sama, suami oleh kerana hendak cepat kononya, pergi ke kaunter bersebelahan.
Urusan imigresyen siap dalam masa lebih kurang 30 minit. Syukur cepat. Kami pun terus mengambil beg dan keluar ke lobi menunggu. Saya tercari-cari Nora yang saya tidak pernah berjumpa selama 27 tahun selepas kami tamat belajar dari Universiti of Miami.
Dalam mencari-cari wanita berniqaf, kami dilambai oleh June dan suaminya. June yang juga kawan semasa di University of Miami, bergaya dengan abaya dan bertudung tanpa niqaf. Saya masih kenal June sebab kami baru berjumpa semasa menghadiri majlis perkahwinan anak kawan di UPM. June sudah tujuh tahun tinggal di Jeddah sebagai lady of leisure mengikut suami bekerja di sana.
Beberapa minit kemudian, Nora berabaya hitam tanpa niqaf menyapa kami. Dia baru sampai dengan anak-anaknya, Dr. Hasan dan Dr. Fida sepasang suami isteri Indonesia yang juga merupakan pensyarah di KAU Rabigh. Lega dapat berjumpa kawan-kawan lama dan kenalan baru yang bercakap Melayu. Kemesraan sudah terasa seperti zaman di universiti tahun 80an dulu.
Sebelum meninggalkan airport, Nora mengingatkan saya membeli nombor telefon STC. Mudah untuk berhubung kerana Nora akan naik kereta Dr. Hasan manakala saya dengan kereta sewa yang dipandu oleh Abdul Rahman, pemandu berasal dari India yang sudah hampir 15 tahun tinggal di Saudi.
Lebuh raya dari Jeddah ke Rabigh sangat baik. Perjalanan sejauh 155 Km mengambil masa 1 jam 30 minit itu tidak membosankan kerana Abdul Rahman boleh bercakap Inggeris. Bermacam soalan kami kemukakan dan dia menjawab dengan mesra. Sepanjang perjalanan terdapat tiga check point polis. Takut disaman polis, saya dan anak perempuan sudah memakai niqaf sebaik sahaja naik kereta. Alhamdulillah kami tidak perlu berhenti lama.
Kami terus dibawa ke rumah transit KAU di Rabigh. Apartment 2 bilik tidur, 2 bilik air, satu ruang dapur, satu ruang makan dan satu ruang tamu yang cukup lengkap dengan perabut asas. Syukur, semuanya sudah ada, cuma perlu beli peralatan memasak dan pinggan mangkuk sahaja.
Keesokannya, seawal pukul 8 pagi saya sudah bersedia untuk ke pejabat bersama Nora kerana itu merupakan minggu pertama sesi pengajian Semester 2 2014/2015. Keluar dari rumah, kami sedia berabaya dan berniqaf. Kami ke kampus dihantar dengan kereta oleh anak lelaki Nora yang datang bercuti.
Terkejut juga saya bila tiba di kampus yang hanya merupakan 2 buah bangunan 2 tingkat yang seperti deretan bangunan kedai di Malaysia. Mana boleh, KAU yang terkenal di Arab Saudi sekecil itu! Setahu saya KAU merupakan universiti tersohor di Arab Saudi yang ranking Faculty Computer and Information Technology nya berada pada 10 teratas Shanghai Asian University Rating.
Rupanya kampus tersebut merupakan kampus sementara untuk bahagian wanita, KAU Rabigh. Kampus utama KAU terletak di Jeddah memang gah dan luas terbentang. Kampus bahagian lelaki di Rabigh juga merupakan kawasan yang luas di persisiran Laut Merah. Bahagian wanita KAU Rabigh akan berpindah ke sana tidak lama lagi.
Sebaik tiba di lobi kampus, sekali lagi saya terkejut melihat wanita-wanita arab bergaya seperti di pejabat masa saya di Miami. Tiada lagi abaya dan niqaf. Mereka berskirt ketat, berseluar dan berblouse boddy hugging dengan wajah yang bermekap cantik dan rambut berset rapi.
Sampai di pejabat, Nora pun menanggalkan abaya, niqaf dan tudung. Dia juga bergaya dengan baju kurung batik tanpa tudung. Saya teragak-agak juga hendak menanggalkan tudung kerana sudah pasti rambut akan menjadi leper tidak berset cantik macam yang saya lihat di lobi tadi. "Profesor Wardah telah arahkan supaya semua pelajar dan staf di Bahagian Wanita tidak memakai tudung semasa di kampus", kata Nora kepada saya.
Itulah kali pertama seumur hidup saya masuk memberi syarahan di kelas tanpa bertudung. Berbaju kurung, rambut leper hanya disisir dengan jari. Terasa janggal sekali berbanding pelajar-pelajar dan staf lain yang kelihatan sungguh bergaya. Ya, bergaya sesama wanita dan untuk suami atau mahram. Hari seterusnya saya juga telah bersedia dengan berus rambut dan sedikit mekap asas.
Sebaik sahaja habis waktu pejabat, masing-masing bergegas menyaruk abaya, dan berniqaf likup menuju ke kereta yang hanya boleh dipandu oleh pemandu lelaki sahaja. Saya dan Nora berjalan pulang ke rumah yang terletak di seberang jalan dari kampus. Debu dan panas padang pasir Rabigh tidak terasa kerana kami juga berabaya dan berniqaf.
No comments:
Post a Comment